Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Kita belum lepasi ujian...
Diterbitkan:  Jul 15, 2009 11:38 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Walaupun keputusan pilihanraya kecil DUN Manek Urai dianggapkan mencerminkan keyakinan rakyat terhadap BN sudah pulih tetapi "kita tidak boleh merasa kita telah lepasi ujian", kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"(Keputusan) ini bererti keyakinan rakyat terhadap BN sudah dapat kita pulihkan dan sekiranya kita meneruskan usaha-usaha yang telah dimulakan, saya percaya kedudukan BN akan menjadi lebih mantap lagi Insya-Allah," katanya.

najib 100 day bash 110709 najib 03 Najib yang juga pengerusi BN memberitahu wartawan Malaysia di Sharmel-Sheikh - bandar peranginan Mesir di Laut Merah - untuk menghadiri sidang kemuncak ke-15 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), lapor Bernama.

"Kita tidak boleh merasakan bahawa segala-galanya telahpun kita lepasi ujiannya tetapi saya begitu puas hati bahawa apa yang telah kita mulakan selama 103 hari ini menampakkan sambutan rakyat yang menggalakkan," katanya.

Najib juga berkata beliau berpuas hati dengan perubahan yang berlaku di Manek Urai kerana ia menunjukkan usaha-usaha yang dilakukan sepanjang 103 hari beliau menjadi perdana menteri mulai diterima rakyat, terutama pengundi Melayu.

Katanya walaupun BN tewas dengan majoriti 65 undi, keputusan itu amat memberangsangkan lebih-lebih lagi ia berlaku di kawasan majoriti Melayu.

"Mudah-mudahan sokongan dan kepercayaan rakyat yang kian bertambah ini akan berterusan," katanya.

PAS mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Manik Urai setelah calonnya Mohd Fauzi Abdullah mengalahkan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti 65 undi setelah memperolehi 5,348 undi berbanding calon BN, Tuan Aziz (5,283 undi).

Perdana Menteri berkata beliau telahpun menyampaikan penghargaan dan tahniah beliau kepada Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengarah pilihanraya BN Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dan juga calon BN sendiri.

"Walaupun kita tidak berjaya tetapi ini satu kemenangan moral yang besar kepada BN," kata Najib, merujuk kepada perbezaan besar majoriti 65 undi yang dimenangi Pas berbanding majoriti 1,352 undi pada pilihanraya umum tahun lepas.

Mengenai jumlah undi rosak sebanyak 117 undi, iaitu melebihi undi majoriti kemenangan Pas, Najib berkata, BN belum mengetahui punca mengenai undi rosak tersebut.

Katanya BN akan membuat bantahan sekiranya didapati wujud perkara yang meragui semasa pilihanraya itu.

Jika tidak, kata beliau, BN tetap menerima keputusan itu dan menganggapnya sebagai kemenangan moral untuk BN.

Mengenai isu-isu yang mempengaruhi pengundi di Manek Urai, Najib berkata: "Kami perlu menilai sama ada mereka dipengaruhi oleh isu tempatan atau nasional atau gabungan kedua-duanya.

"Tetapi, walau apa pun kami puas hati bahawa terdapat perubahan yang berlaku di Manek Urai. Dan ia merupakan kawasan majoriti Melayu," katanya.

ADS