Benarkan kelas Mandarin di UTM, gesa Keadilan
Parti Keadilan Nasional hari ini menggesa Universiti Teknologi Malaysia meluluskan program kelas bahasa Mandarin yang dianjurkan oleh majlis perwakilan pelajar universiti itu, MPPUTM.
"Keputusan UTM untuk membatalkan program Mandarin itu bertentangan dengan kepentingan universiti dan masyarakat berbilang kaum," kata Timbalan Presidennya Dr Chandra Muzaffar.
Minggu lepas malaysiakini melaporkan pentadbiran UTM mengarahkan kelas bahasa itu ditutup dan digantikan dengan kelas bahasa Inggeris sejak November tahun lalu. ([#1] Replace Mandarin with English classes, UTM students told [/#], 23 Feb)
Arahan ini bagaimanapun ditentang oleh pelajar-pelajar universiti tersebut kerana ia anggap satu diskriminasi terhadap kelas Mandarin yang telah ditubuhkan sejak 1998. Kelas tidak formal anjuran MPPUTM itu diajarkan oleh 20 sukarelawan pelajar dan berjaya menarik minat 520 pelajar, pensyarah dan kakitangan universiti itu.
Menurut Chandra, pihak universiti harus memberi ruang kepada pelajar bagi mengelolakan aktiviti-aktiviti yang sihat seperti kelas Mandarin ini.
"Mengadakan kelas Mandarin merupakan satu aktiviti sihat yang menguntungkan semua pihak. Kenapa universiti cuba mencegah aktiviti yang baik?" katanya.
Menurut pemimpin pembangkang itu, kelas Mandarin itu dihadiri oleh 66 peratus pelajar Melayu, 14 peratus (Cina), 12 peratus (India) dan selebihnya (kaum lain).
Penyertaan pelajar pelbagai kaum itu menyumbang kepada interaksi dan perpaduan antara kaum di dalam kampus yang juga menjadi matlamat universiti, kata Chandra lagi, yang berpengalaman luas sebagai pensyarah universiti.
"Pihak pengurusan dan pentadbiran UTM harus berasa bangga dengan kejayaan program kelas Mandarin ini," katanya.
Akhbar Sin Chew Jit Poh semalam melaporkan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Hon Choon Kim menyatakan pentadbiran UTM tidak menutup terus kelas Mandirin tetapi hanya menggesa pelajar-pelajar memohon pengesahan daripada Jabatan Bahasa Moden universiti tersebut dan mengupah guru-guru yang berwibawa (diiktiraf) untuk mengajar kelas itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.