NGO berebut MAMPAT dengan Pemuda Pakatan
Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) membantah penggunaan singkatan "MAMPAT" oleh majlis Pemuda Pakatan Rakyat yang baru diumumkan penubuhannya semalam.
"Kita kecewa dengan perkara ini. Kita buat keputusan menghantar surat bantahan kepada ketua Pemuda PAS, PKR dan DAP supaya mereka pinda (singkatan itu)," kata pengerusi NGO Terengganu itu, Mohd Fauzi Abu Samah.
Beliau mengulas tindakan Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat yang menggunakan singkatan yang sama dengan Mampat Terengganu sebagai kependekan nama gabungan mereka.
Semalam, sayap Pemuda tiga parti pembangkang membentuk gabungan tersebut bagi menguatkan lagi hubungan kerjasama politik dan dapat membantu menyelesaikan isu berbangkit antara sesama mereka dengan lebih cepat.
Mohd Fauzi menambah, tindakan Pemuda Pakatan itu boleh mengundang salah faham orang ramai yang terkeliru dengan NGO yang dipimpinnya yang menyokong parti politik tertentu.
"Buat masa ini, Mampat (Terengganu) mempunyai hubungan baik dengan pelbagai pihak. Kita tidak mahu hubungan ini terganggu (akibat salah tafsir tersebut)," kata Mohd Fauzi, sambil menekankan pertubuhan itu sebuah badan bebas.
Beliau menambah, dalam surat bantahannya yang dihantar pagi tadi, Mampat Terengganu juga menerangkan, ia adalah NGO yang sah dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.
"Nombor pendaftaran pun kami nyatakan sekali dalam surat itu," kata Mohd Fauzi kepada Malaysiakini .
Mampat Terengganu didaftarkan pada Disember tahun lalu dan mula terkenal setelah menganjurkan kempen menuntut kembali royalti minyak negeri itu dan menyokong keputusan istana dalam krisis perebutan menteri besar Mac tahun lalu.

