Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan tunduk desakan mansuh ISA'
Diterbitkan:  Jul 30, 2009 4:29 PM
Dikemaskini: 6:10 PM

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) mendesak supaya kerajaan tidak tunduk "kepada suara minoriti pihak tertentu yang meminta agar ISA dimansuhkan".

"Ini kerana suara minoriti tersebut tidak mewakili keseluruhan suara majoriti rakyat Malaysia," kata PPIM dan Pewaris dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Katanya, ISA penting bagi menjamin keselamatan negara dan telah terbukti mampu menangani permasalahan yang boleh membahayakan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Rakyat juga jangan mudah terpengaruh dengan emosi hanya kerana kepentingan peribadi golongan minoriti tersebut yang cuba memancing emosi rakyat Malaysia untuk kepentingan peribadi mereka.

"Kita mahu negara terus aman dan rakyat negara ini dapat hidup dalam suasana harmoni dan negara bebas dari ancaman keselamatan.

"Jangan terikut dengan budaya luar dan berjuang kerana emosi atas sebab pengaruh pihak tertentu," tambah kenyataan itu.

PPIM dan Pewaris juga menggesa supaya jangan diperjudikan masa dengan negara dan "bertindak melulu tanpa melihat pelbagai perkara yang lebih penting, iaitu keharmonian negara dan keselamatan tanahair tercinta".

"Kenapa kita hendak memperjudikan keselamatan rakyat dan negara kerana provokasi emosi golongan yang berkepentingan peribadi.

"Perhimpunan haram seperti ini hanya akan menyusahkan rakyat dan bantahan beribu orang adalah hanya suara minoriti sahaja berbanding dengan majoriti rakyat yang muak dengan demonstrasi dan perjuangan yang tidak berasas serta tidak mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia," tegas kanyataan bersama itu.

ADS