Muzakarah PAS-Umno boleh menjadi kenyataan sekiranya pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam tempatan turut dijemput sama untuk menjayakannya, kata presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Ahmad Azam Abdul Rahman hari ini.

Katanya, soal perpaduan orang Melayu dan Islam bukan hanya membabitkan Umno dan PAS sahaja, tetapi seluruh bangsa Melayu, sama ada yang menyertai parti politik ataupun pertubuhan bukan politik.

Oleh itu, katanya, semua pihak berkenaan, termasuk Umno sendiri sepatutnya mengalu-alukan kesediaan kerajaan Terengganu pimpinan PAS untuk mengadakan perbincangan mengenai pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas di negeri itu.

PAS juga, katanya, tidak boleh menolak begitu sahaja pelawaan Umno sebelum ini untuk mengadakan muzakarah dengan parti pembangkang itu.

Bercakap kepada malaysiakini , Azam berkata, ianya juga boleh dianggap sebagai langkah pertama ke arah menghidupkan semula peluang untuk mengadakan muzakarah sepertimana yang dicadangkan oleh Umno itu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri PAS bersedia berbincang dengan Umno mengenai pelaksanaan undang-undang Islam yang berkaitan dengan hukum jenayah hudud dan qisas.

Hukum qisas adalah hukuman balas bagi kesalahan yang dilakukan dengan sengaja, umpamanya nyawa dibalas dengan nyawa, melukakan dibalas dengan luka, mencedera dibalas dengan mencederakan.

Mengendurkan ketegangan hubungan

Hadi dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri memang bersungguh-sungguh dalam usahanya melaksanakan undang-undang itu dan bersedia membayar harga menyewa dewan untuk mengadakan perjumpaan dengan Umno itu.

Malah, kata Hadi, seandainya wakil Umno tidak dapat datang ke Terengganu, perjumpaan itu boleh diadakan di Kuala Lumpur, dengan perbelanjaannya ditanggung oleh kerajaan negeri

Mengulas lanjut mengenainya, Azam berkata semua pihak juga harus menerima hakikat bahawa masalah perpaduan Melayu ini tidak boleh diselesaikan dengan mengadakan satu pertemuan sahaja.

Sebaliknya, kata beliau, ia perlu disusuli dengan pertemuan-pertemuan seterus sehinggalah matlamat mengadakan muzakarah itu dapat dicapai.

Bagaimanapun, katanya, sebelum muzakarah itu dimulakan, apa yang lebih penting ialah mengendurkan ketegangan dalam hubungan politik di antara Umno dan PAS.

Selepas itu bolehlah dianjurkan pertemuan awal yang membabitkan pemimpin PAS dan Umno serta wakil daripada NGO Melayu di negara ini, katanya.