Kisah hidup Chin Peng akan diterbitkan tahun ini
eksklusif
Chin Peng, seorang pemimpin terkenal Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan, kini sedang menyiapkan buku mengenai riwayat hidupnya selama 50 tahun berjuang menentang penjajahan British dan kerajaan selepas Malaya mencapai kemerdekaan.eksklusif
Chin Peng, seorang pemimpin terkenal Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan, kini sedang menyiapkan buku mengenai riwayat hidupnya selama 50 tahun berjuang menentang penjajahan British dan kerajaan selepas Malaya mencapai kemerdekaan.Setiausaha agung PKM itu, yang kini sudah berusia 76 tahun, memberitahu malaysiakini bukunya itu akan menceritakan sejarah PKM dan perjuangannya sejak awal penubuhannya sehinggalah unit bersenjatanya dibubarkan selepas menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 1989.
Selepas tinggal dalam buangan selama hampir satu dekad di sempadan Thai-Malaysia, Chin Peng kini menetap di Bangkok. Sewaktu diwawancara di Haadnyai baru-baru ini, beliau enggan mengulas isu-isu yang disifatkannya terlalu sensitif termasuk keadaan politik semasa di Malaysia, dan perkembangan politik antarabangsa seperti kemasukan China ke dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Bagaimanapun, Chin Peng berkata bukunya itu akan menyentuh mengenai kejayaan dan kesilapan yang pernah dilakukan oleh PKM yang pro-Beijing, di samping analisanya mengapa blok komunis runtuh pada 1990, dan kesannya terhadap parti komunis di seluruh dunia.
Buku itu, yang juga akan menceritakan pengalaman manisnya bersama pemimpin China, Mao Zedong, dijangka siap hujung tahun ini.
Tidak kisah apa orang kata mengenai Mao. Bagi kami, beliau telah memberi layanan sama rata kepada PKM, kata Chin Peng.
Revolusi internet
Chin Peng yang dianggap seorang hero kerana keberanian dan ketabahannya meneruskan perjuangan komunis, sentiasa mengikuti perkembangan di Malaysia dengan melayari malaysiakini dari rumahnya di Bangkok.
Oleh itu, katanya, revolusi internet bukanlah sesuatu yang asing baginya.
Saya pernah dipertanggungjawabkan untuk menjaga perhubungan radio dan wireless semasa di hutan. Oleh itu, saya memang biasa dengan penggunaan komputer, kata Chin Peng yang fasih berbahasa Melayu.
Chin Peng dan rakan-rakan seperjuangannya yang lain kini sedang memohon untuk mendapatkan kerakyatan Thailand selepas 12 tahun menunggu untuk dibenarkan pulang ke Malaysia.
Perjanjian damai di antara PKM dan Kerajaan Malaysia pada 1989 menyebut bahawa bekas anggota komunis boleh pulang menetap di negara ini selepas memperolehi kebenaran daripada pihak berkuasa di sini.
Sejak perjanjian termeterai, sebilangan anggota biasa PKM telah pulang ke Malaysia. Bagaimanapun, Chin Peng mendakwa pemimpin utama PKM termasuk dirinya tidak diberi jawapan yang pasti mengenai kepulangan mereka ke Malaysia, apabila menemui pihak berkuasa negara ini.
Sejak itu, kira-kira 1,000 bekas anggota PKM, termasuk dari unit bersenjatanya Tentera Rakyat Malaya menerima tawaran kerajaan Thailand untuk mendapatkan tanah untuk dijadikan tempat tinggal di 12 lokasi di Selatan Thailand.
Dua anak
Chin Peng yang nama penuhnya Ong Boon Hua, mempunyai dua orang anak seorang anak perempuan yang kini tinggal di Penang dan seorang anak lelaki, seorang peguam di Kuala Lumpur. Isterinya kini tinggal diChina.
Katanya, beliau sentiasa bertanya khabar daripada anak-anaknya itu dari masa semasa.
Anak-anak saya bersikap liberal. Mereka tidak berminat dalam politik. Anak lelaki saya kata ada kebaikan dalam komunisme dan capitalisma. Jadi saya tidak mahu mempengaruhinya , katanya.
Chin Peng dilahirkan di Sitiawan, Perak di mana bapanya membuka sebuah kedai membaiki basikal. Beliau mendapat pendidikan awal serta mempelajar bahasa Mandarin dan Inggeris di Sekolah Anglo-Chinese dan Nan Hwa.
Ketika berusia 18 tahun, Chin Peng menyertai PKM dan diberi tugas untuk memotong stensil di jabatan propaganda. Beliau seterusnya dilantik menjadi setiausaha agung dan memimpin PKM dalam perjuangannya untuk menghalau penjajah British dari Malaya.
Pada 1948, keadaan darurat diisytiharkan di Malaya selama 12 tahun. Pihak komunis pada mulanya beroperasi di dalam hutan tebal di Semenanjung Malaya, tetapi mereka kemudiannya memindahkan pangkalannya ke selatan Thailand.
Sukar dikesan
Pada 1955, Chin Peng mengadakan perundingan dengan pemimpin Perikatan di Baling, Kedah tetapi pertemuan itu telah berakhir dengan kegagalan. Selepas 1960, Chin Peng dilaporkan dilihat di merata tempat di sempadan Thai-Malaysia, di Vietnam, Macau dan Beijing. Ganjaran yang ditawarkan bagi menangkap Chin Peng ketika itu adalah diantara RM2,000 dan RM250,000.
Ditanya apakah PKM gagal dalam perjuangannya, Chin Peng berkata: Kalau apa yang anda maksudkan ialah merampas kuasa, ya, kami telah gagal, tetapi kalau tidak kerana kami, mungkin tidak ada kemerdekaan. Tanpa kami, maka tidak akan ada dasar-dasar pembangunan yang memberi faedah kepada mereka yang memerlukannya. Saya percaya, mungkin Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pun tidak akan ada, katanya.
Ini adalah bahagian terakhir daripada tiga siri wawancara eksklusif malaysiakini dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM). Mulai besok, malaysiakini akan menyiarkan satu siri baru mengenai kehidupan Chin Peng dan rakan seperjuangannya eksklusif untuk pelanggan malaysiakini sahaja.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.