Laporan pengasingan pelajar bukti perlunya Sekolah Wawasan: Umno Perlis
Hasil laporan jawatankuasa bebas siasatan isu pengasingan pelajar mengikut kaum di sekolah, memperkuatkan lagi bukti perlunya ditubuhkan Sekolah Wawasan bagi memupuk perpaduan kaum di peringkat kanak-kanak lagi, kata ketua penerangan Umno Perlis, Haji Abu Bakar Ismail.
Menurut laporan jawatankuasa itu, kedudukan peratus murid mengikut kaum di Sekolah Kebangsaan ternyata tidak seimbang dan ianya dapat diatasi menerusi penubuhan Sekolah Wawasan, katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Laporan ringkas jawatankuasa berkenaan menyebut, daripada sejumlah 2.2 juta pelajar kebangsaan di seluruh negara, hanya 2.10 peratus atau 46,470 adalah murid Cina, murid India 4.3 peratus (95,180) dan kaum lain 2.78 peratus (59,423).
Ia merupakan antara hasil siasatan jawatankuasa itu berikutan dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa berlaku pengasingan pelajar mengikut kaum di sekolah. Kes itu dianggap selesai selepas setiausaha agung NUTP N Siva Subramaniam memohon maaf.
Pengwujudan Sekolah Wawasan merupakan satu permulaan yang cukup baik bagi membolehkan murid pelbagai kaum bercampur gaul. Walaupun dari sekolah berlainan tetapi mereka berada di dalam satu kompleks yang sama, tambah beliau.
Konsep Sekolah Wawasan pada asasnya menempatkan Sekolah Kebangsaan serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dalam satu kompleks.
Kalau dilihat kepada peratus di atas, katanya, jelas bahawa tiada wujud ruang untuk murid pelbagai kaum bergaul secara meluas kerana perbezaan jumlah pelajar Melayu dan bukan begitu besar sekali.
Kalau kita mengaku kita ini rakyat Malaysia, kita mesti sanggup berjuang ke arah itu. Badan-badan lain termasuk yang mewakili kaum bukan Melayu tidak harus menentang konsep Sekolah Wawasan itu secara membuta-tuli tanpa terlebih dahulu menimbangkan kebaikannya ke arah mewujudkan perpaduan kaum pada masa akan datang, katanya.
Majlis pendidikan
Bagi membolehkan setiap isu pendidikan dan perpaduan negara difahami semua kaum, beliau mencadangkan penubuhan majlis pendidikan dan perpaduan negara yang perlu dianggotai wakil kerajaan, parti politik kerajaan dan pembangkang, persatuan guru dan mereka yang pakar dalam bidang berkenaan.
Fungsi utama majlis itu ialah untuk membincang dan mencari penyelesaian terbaik yang boleh diterima oleh semua pihak. Keputusannya dibuat bersama. Jadi tidak timbul sama ada sesuatu keputusan itu memenangkan mana-mana pihak, katanya.
Dengan ada majlis seumpama itu, beliau yang juga bekas seorang pendidik, yakin tidak akan timbul salahfaham seperti dakwaan NUTP kononnya wujud pengasingan pelajar mengikut kaum di Sekolah Kebangsaan.
Dari pengalaman saya sendiri, apa yang sebenarnya berlaku ialah sewaktu pelajaran Moral. Pelajar Islam akan mengikut pelajaran agama Islam, manakala pelajar bukan Islam pula akan mengikuti pelajaran Moral. Ia hanya berlaku ketika mata pelajaran berkenaan saja, jelasnya.
Abu Bakar berkata, rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di luar negara seperti di Afghanistan, Palestin dan beberapa negara Arab yang lain.
Tanpa perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat Malaysia, katanya, kemungkinan negara ini juga akan ditimpa masalah yang sama di masa hadapan.

