Hujan bukan penghalang untuk penyokong Palestin
Hampir seribu orang wakil parti politik, pertubuhan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) sanggup basah kuyup ditimpa hujan semata-mata untuk menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin daripada kezaliman tentera Israel.
Perhimpunan itu yang berlangsung di depan bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur turut dipenuhi dengan bacaan sajak dan nyanyian patriotik mengenai penderitaan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Turut bersajak di perhimpunan yang diadakan atas inisiatif Pemuda Umno itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, Setiausaha Barisan Nasional, Tan Sri Mohamad Rahmat, serta wakil daripada penuntut universiti tempatan dan Puteri Umno.
Duta Palestin ke Kuala Lumpur Ahmad Al-Farra hadir sebagai tetamu khas di perhimpunan itu. Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Hishamudin Hussein, aktivis sosial Datuk Lee Lam Thye.
Ahmad, dalam ucapannya berkata, sokongan kuat masyarakat Islam, terutama di Malaysia semakin menguatkan azam rakyat Palestin untuk berjuang hingga tercapai matlamat menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Katanya, walaupun rakyat Palestin terpaksa berdepan dengan tentera Israel yang bersenjata lengkap, namun matlamat mereka ialah untuk membebaskan Baitul Maqdis supaya semua umat Islam akan dapat mengunjunginya.
Sumbangan derma
Ucapannya itu disambut laungan sokongan daripada para hadirin yang membawa pelbagai sepanduk dan kain rentang mengutuk kekejaman Israel yang dianggap sebagai pengganas terhadap rakyat Palestin.
Sementara itu, Hishamudin, dalam ucapannya berkata, Pemuda Umno akan berusaha mengumpul sumbangan sebanyak mungkin untuk mengisi tabung rakyat Palestin yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini.
Kita akan mengumpul derma melalui mesyuarat-mesyuarat bahagian Umno sekarang bagi mengisi tabung itu, katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.