Enam aktivis reformasi yang kini sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan dibenarkan lagi menemui ahli keluarga dan peguam masing-masing sekiranya mereka melancarkan mogok lapar sempena ulangtahun penangkapan mereka.

Peguam mereka, R Sivarasa memberitahu malaysiakini hari ini bahawa mereka berenam yang ditahan di Kem Kemunting telah diberitahu demikian dalam pertemuan dengan pegawai kem itu semalam.

Mengikut Sivarasa, pegawai berkenaan berkata mereka juga tidak akan dibenarkan untuk menonton televisyen, atau disediakan akhbar sepanjang tempoh mereka melancarkan mogok lapar itu, yang dijadualkan bermula 10 April ini.

Aktivis reformasi yang terlibat adalah Mohd Ezam Mohd Nor (gambar), Saari Sungib, Hishamuddin Rais, Lokman Noor Adam, Badrul Amin Baharon and Tian Chua. Mereka sedang menjalani hukuman tahanan selama dua tahun sejak bulan Jun lalu kerana dituduh terbabit dengan pakatan untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Pegawai di Pusat Tahanan Kamunting bagaimanapun, tidak dapat dihubungi untuk mendapat penjelasan lanjut mengenainya.

Pembedahan Anwar

Rabu lalu, mereka mengumum akan melancarkan mogok lapar itu bagi menuntut supaya dibebaskan atau didakwa di mahkamah bagi mendengar tuduhan terhadap mereka.

Mereka juga menuntut supaya bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman di Sungai Buloh dibenarkan menjalani pembedahan bagi sakit belakangnya di luar negara.

Sementara itu, seorang aktivis menentang ISA, S Arutchelvam, berkata tarikh mengadakan mogok lapar itu belum diputuskan lagi. Kami tidak tahu berapa lama ia akan diadakan kerana tujuannya ialah untuk menuntut supaya mereka dibebaskan, katanya kepada malaysiakini.

Menurutnya, penyokong tahanan itu juga akan turut menyertai mogok lapar itu.