Lebih RM630,000 untuk bantu ibu tunggal
Sejumlah RM634,022 telah disalurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga untuk membantu ibu tunggal sejak tahun 2001.
Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Shahrizat Abu Jalil berkata, ia disalurkan melalui persatuan ibu tunggal bagi dibiayai program termasuk kaunseling, motivasi dan meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang
"Sebagai satu langkah baru untuk meningkatkan keberkesanan program untuk ibu tunggal, Kementerian sedang berusaha mendapatkan maklum balas lebih lanjut daripada kumpulan sasaran sendiri," katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.
"Bagi maksud itu, atas dorongan Kementerian, satu majlis yang menggabungkan semua persatuan ibu tunggal dari seluruh negara sedang dalam proses penubuhannya, katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Wira Seman bin Haji Yusup (BN-Alor Gajah) di Dewan Rakyat hari ini.
Wakil Alor Gajah itu ingin tahu berapa ramaikah ibu tunggal yang telah mendaftar setakat 31 Disember tahun lalu dan jumlah peruntukan yang disalurkan untuk meringankan bebanan mereka.
Shahrizat juga berkata sehingga ini, Kementeriannya mendapati 17,246 orang telah berdaftar dengan Persatuan-persatuan Ibu Tunggal.
Menurut beliau lagi, penyiasatan pendapatan isi rumah tahun 1999 juga menunjukkan terdapat 711,000 isi rumah yang diketuai wanita.
"Masalah besar di kalangan mereka adalah kemiskinan dan kadarnya meningkat daripada 15.1 peratus pada 1997 kepada 16.1 peratus pada 1999, walaupun pelbagai usaha dilaksanakan untuk mengatasinya, seperti menyediakan pinjaman perniagaan kecil serta program latihan kemahiran untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan," katanya.
Kumpulan sokongan
Bulan lalu, Shahrizat menggesa masyarakat mewujudkan lebih banyak kumpulan sokongan dalam komuniti bagi memberi galakan moral kepada wanita yang ditinggalkan pasangan.
Katanya, kumpulan sokongan secara informal itu yang terdiri daripada anggota keluarga, kawan, jiran dan masyarakat sekeliling, diperlukan bagi memberi motivasi dan semangat kepada ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan tanpa menghadapi tekanan jiwa.
Sehubungan itu, Shahrizat berkata, Kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan wakil persatuan ibu tunggal bagi membincangkan isu dan masalah yang dihadapi golongan itu sebelum menentukan jenis bantuan yang akan disalurkan.
Kementeriannya juga telah menandatangani surat perjanjian bantuan khas dengan 22 badan bukan kerajaan (NGO) dan 14 Jawatankuasa Perunding Hal Ehwal Wanita (JKP Hawa) seluruh negara, membabitkan pengagihan bantuan kira-kira RM1.7 juta.
Jumlah itu adalah sebahagian RM10 juta yang diperuntukkan tahun lalu bagi membiayai pelbagai program berkonsep pembangunan diri dan pemantapan institusi keluarga.
Antara NGO yang menerima bantuan itu ialah Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Kedah, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Persatuan Ibu Tunggal Melati Wilayah Persekutuan dan Majlis Wanita Johor


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.