Pekerja yang dipaksa menerima skim berhenti kerja secara sukarela (VSS) patut mengambil tindakan mahkamah terhadap majikan mereka kerana diberhentikan secara tidak adil.

Kementerian Sumber Manusia, dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat hari ini, berkata pihak majikan hanya dibenarkan melaksanakan skim berkenaan dengan persetujuan pekerja mereka.

Skim ini tidak boleh dipaksa ke atas pekerja, katanya sebagai menjawab soalan bertulis senator Ahmad Ismail, yang ingin tahu sama ada kementerian berkenaan mengawasi pelaksanaan skim itu agar tidak disalahguna oleh majikan.

Menurut kementerian berkenaan, Jabatan Buruh sentiasa mengawasi syarikat-syarikat yang melaksanakan skim VSS.

Katanya, syarikat diwajibkan memberitahu Jabatan Buruh sebulan sebelum tarikh pelaksanaan skim ini.

Sektor elektronik terjejas

Sejak berlakunya krisis kewangan Asia pada 1997, beberapa syarikat gergasi telah melaksanakan skim VSS untuk memberhentikan pekerja bagi mengurangkan kerugian.

Walaupun hanya syarikat besar di sektor elektronik yang teruk menghadapi kesannya, tetapi ada juga syarikat kecil yang turut mengambil peluang itu mengurangkan kos dengan menawarkan skim VSS kepada pekerja mereka.

Baru-baru ini, syarikat Sony Electronic (M) Sdn Bhd di Pulau Pinang dan Perwaja Steel di Gurun, Kedah telah melaksanakan skim VSS yang membabitkan ratusan pekerja mereka.

Pihak kesatuan sekerja menyifatkan skim ini sebagai langkah awal kepada rancangan pembuangan pekerja. Bagaimanapun, pihak majikan pula berpandangan langkah itu perlu untuk menstrukturkan semula perniagaan untuk meningkat pengeluaran dan keuntungan.