Pemuda Barisan Alternatif (BA) mengisytiharkan 10 April sebagai Hari Dukacita sebagai menyokong keputusan enam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk melancarkan mogok menuntut kerajaan membebaskan mereka tanpa syarat atau dibicarakan di mahkamah.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, pemuda BA meminta orang ramai supaya memakai pakaian gelap mulai 9 April hingga 14 April, sempena genap setahun pemimpin Keadilan, Tian Chua, Mohd Ezam, Saari Sungip, Dr Badrul Aman, Lokman Adam dan penulis malaysiakini Hishamudin Rais di bawah ISA.

Aktivitis-aktivitis tersebut ditahan dibawah ISA kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Mereka kini ditempatkan di kem tahanan ISA di Kamunting, Perak.

Pemuda BA juga meminta orang ramai menutup lampu selama 10 minit mulai jam 8 malam sepanjang tempoh berkenaan, bagi menunjukkan sokongan mereka kepada enam tahanan ISA itu.

Sokongan terhadap tahanan ISA ini akan memberi tekanan kepada kerajaan untuk membebaskan mereka ataupun membicarakan mereka di mahkamah, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Pemuda BA kesal dan dukacita kerana enam tahanan ISA itu terpaksa melancarkan mogok yang akan membawa kesan mudarat kepada kesihatan mereka sendiri.

Keputusan ini diambil berikutan sikap kerajaan yang tidak menghiraukan tuntutan yang telah disuarakan oleh mereka sebelum ini, katanya.

Memburukkan nama negara

Kenyataan itu ditandangani bersama oleh Timbalan Ketua Pemuda Keadilan Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Dewan Pemuda PAS Mahfuz Omar, dan Ketua Angkatan Muda Parti Rakyat Malaysia (PRM) Faizal Sanusi.

Menurut kenyataan tersebut, walaupun telah genap setahun mereka ditahan di bawah ISA, tetapi sehingga kini mereka tidak dibicarakan di mahkamah walaupun kerajaan sering mengatakan mempunyai bukti terhadap tuduhan itu.

Pemuda BA juga menggesa kerajaan supaya membebas atau membicarakan mereka di mahkamah kerana tindakan mogok lapar itu juga akan memberi kesan kepada nama negara di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, Kesatuan Sekerja Jerman, Interfaith Centre on Corporate Responsibility (ICCR) dan juga Amnesty International telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keenam-enam tahanan ISA ini dan menyeru kerajaan Malaysia membebaskan mereka. Malah Amnesty International telah menyatakan mereka sebagai tahanan politik, kata kenyataan itu lagi.