Timbalan pengerusi Umno Kelantan Datuk Annuar Musa dikatakan ingin melepaskan jawatannya itu bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Umno dengan pelajar Malaysia di luar negara yang sebahagian besarnya pro- pembangkang.
Menurut seorang pemimpin Umno Kelantan yang tidak mahu namanya disiarkan, Annuar pernah beberapa kali menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan itu sewaktu menghadiri mesyuarat badan perhubungan Umno negeri.
Ditanya sebab Annuar mahu berbuat demikian, beliau percaya ianya mungkin ada kaitan dengan penyiasatan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap kes penyelewengan RM36.5 juta tabung Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kelantan dan Terengganu, sewaktu beliau menjadi menteri pembangunan luar Bandar.
Setakat ini, empat orang, termasuk bekas ketua setiausaha kementerian berkenaan dan ketua setiausahanya sekarang, telah disoalsiasat berhubung penyiasatan kes berkenaan. Pihak BPR juga dilaporkan telah mengambil kenyataan daripada Annuar baru-baru ini.
Seandainya ia menjadi kenyataan, beliau menjangka perebutan akan berlaku di kalangan beberapa pemimpin Umno Kelantan yang berhasrat mengisi jawatan itu.
Pada Mac 29 lalu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bahawa 12 daripada 14 ketua Umno bahagian di Kelantan sedang berusaha untuk mencari pengganti ketua perhubungannya sekarang Datuk Mustapha Mohamad, bagi mencerahkan lagi peluang Umno menawan semula negeri itu daripada PAS.
Laporan itu menyebut, mereka mengambil keputusan itu kerana berpendapat tenaga Mustapha yang juga ketua penerangan Umno pusat dan pengarah eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) lebih diperlukan di peringkat pusat. Mustapha dilantik sebagai ketua perhubungan Umno Kelantan pada Jun 2000.
Walaupun timbalan presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan laporan itu, tetapi para pemerhati politik berpendapat keadaan politik di Kelantan "memang sukar hendak ditelah".
Pelajar pro-pembangkang
Sementara itu, sumber-sumber memberitahu malaysiakini bahawa Annuar dikatakan mahu membantu parti menjalinkan hubungan lebih rapat dengan pelajar Malaysia di luar negara yang memang diketahui bersikap pro-pembangkang.
"Malah, pemimpin tertinggi Umno memang mengakui kemampuan Annuar berbuat demikian selepas menyaksikan kepetahannya menangkis 'serangan' terhadap Umno sewaktu menghadiri forum anjuran pelajar Malaysia, yang turut dihadiri ketua dewan pemuda PAS Mahfuz Omar di London awal tahun lalu," kata sumber itu.
Menurut sumber-sumber itu lagi, persatuan pelajar Malaysia itu pada awalnya telah menghantar jemputan kepada Pergerakan Pemuda Umno supaya menghantar wakil, terutama ketua pemuda sendiri Datuk Hishammudin Tun Hussein, untuk mengambil bahagian dalam forum itu. Hishamuddin bagaimanapun, tidak dapat menghadiri forum itu.
"Annuar yang kebetulan berada di London ketika itu, telah menghubungi Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur untuk meminta izin bagi mewakili Umno di forum ini bagi menjawab apa juga persoalan yang bakal ditimbul oleh pemimpin pembangkang dan pelajar sendiri di forum berkenaan," katanya.
Malaysiakini difahamkan bahawa Annuar telah memperlihatkan kemahiran dan kepetahannya berucap dan berjaya mempetahankan dasar-dasar kerajaan.
Malah, malaysiakini juga difahamkan bahawa antara topik utama yang dibincangkan dalam pertemuan di antara Annuar dan presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bulan lalu turut menyentuh perkara tersebut.
