Umno ikuti pertelagahan dalam MCA: Taib
Umno sedang memerhati dengan penuh minat perkembangan semasa dalam krisis kepemimpinan yang melanda MCA sekarang, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), perkembangan dalam parti berkenaan akan turut memberi kesan kepada Umno, katanya kepada malaysiakini hari ini.
Namun begitu, katanya, Umno tetap berkeyakinan bahawa kedua-dua belah pihak yang bertelagah dalam MCA itu akan dapat mencari penyelesaian terbaik sesama mereka.
Kita menghormati kepemimpinan setiap parti komponen dalam BN. Kerana itu kita dalam Umno tidak mencampuri urusan dalaman parti mereka, katanya.
Ditanya mengenai cadangan kumpulan B MCA memilih Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) milik Umno untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadualkan pada 21 April ini, Taib berkata: Sesiapa saja boleh menyewa dewan PWTC. Kita tidak ada halangan.
Kumpulan B, yang diketuai oleh timbalan presiden Datuk Lim Ah Lek, itu bertegas untuk mengadakan EGM bagi membincangkan isu ahli hantu walaupun ibu pejabat MCA menolak permohonan mereka Selesa lalu.
Notis mengenainya akan dikeluarkan hari ini oleh Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, Datuk Tang See Hang, Ahli Parlimen Bentong, Liow Tiong Lai dan Timbalan Setiausaha Pengelola parti itu, Datuk Lee Chee Leong.
Tiada tempahan dewan
Sementara itu, Putrade Property Management Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan pengurusan PWTC berkata sehingga tengah hari ini, pihaknya belum menerima sebarang tempahan daripada pihak yang mahu mengadakan EGM itu.
Jurucakap jabatan perhubungan awamnya berkata, tiada tempoh tertentu ditetapkan bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menempah dewan di PWTC untuk mengadakan majlis masing-masing.
Ada juga yang membuat tempahan pada saat akhir. Sekiranya sudah ada tempahan lain, maka kami terpaksa menolaknya, tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.