Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mahu kerajaan negeri memberi tumpuan kepada perpaduan masyarakat dan menyelesaikan setiap perselisihan faham secara bijaksana.

Baginda bertitah perpaduan masyarakat merupakan prasyarat penting untuk meneruskan perancangan dan pelaksanaan halatuju pembangunan di Terengganu yang di terajui oleh kerajaan pimpinan PAS.

Bernama melaporkan bahawa baginda mahu rakyat negeri itu mengambil iktibar daripada tragedi-tragedi yang berlaku kepada umat Islam di seluruh dunia pada masa ini.

Baginda bertitah demikian sewaktu merasmikan pembukaan penggal persidangan keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu yang ke-10 hari ini.

Sultan Mizan bertitah ianya perlu bagi memastikan perhubungan mesra antara semua rakyat Terengganu sentiasa berada dalam keadaan sentosa dan bahagia.

Menurut Bernama lagi, baginda juga mahu kerajaan negeri terus melaksanakan program dan projek bagi memajukan rakyat dan negeri walaupun menghadapi kekanganan daripada segi kewangan.

Titah baginda,kerajaan negeri harus meneruskan proses pembangunan insan dan ekonomi negeri dengan menjana peruntukan kewangan sedia ada kepada program dan projek yang memberi manfaat optimum kepada rakyat.

Kerajaan negeri haruslah mencari kaedah alternatif dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri. Cabaran semasa perlulah ditangani oleh sumber sedia ada," titah baginda.