Pengganti Dr M: bancian Harakah mungkin cermin pandangan rakyat
Kepimpinan Umno perlu memberi perhatian kepada sebarang bancian pendapat umum kerana ia merupakan maklumbalas penting bagi mengukur pandangan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan, kata ahli majlis tertinggi parti Keadilan Khalid Jaafar hari ini.
Sebagai contoh, katanya, bancian lidah rasmi PAS, Harakah mengenai pengganti Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, menunjukkan umum berpendapat naib presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, lebih layak daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, calon yang ditonjolkan sendiri oleh Dr Mahathir sebagai penggantinya.
Ini merupakan persepsi umum terhadap kepimpinan Umno. Dalam politik, persepsi ini perlu diambil kira terutama mengenai kemampuan Abdullah menjadi pengganti Dr Mahathir yang semakin menjangkau umur 80 tahun, katanya kepada malaysiakini .
Hasil bancian Harakah menunjukkan pembaca memilih Najib sebagai pengganti terbaik kepada Dr Mahathir. Abdullah pula menduduki tempat ketiga selepas naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin. Ini diikuti oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan seorang lagi naib presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Daripada sejumlah 7,272 pembaca yang membuat pilihan, 62.4 peratus atau 4,538 orang memilih Najib, 1,024 atau 14.08 peratus (Muhyiddin), 737 atau 10.14 peratus (Abdullah), 53 atau 7.3 peratus (Tengku Razaleigh Hamzah) dan 44 atau 6.07 peratus (Muhammad Taib)
Menurut Khalid, orang ramai di Malaysia tidak biasa dengan sistem pungutan pendapat sepertimana yang sentiasa dibuat di Britain and Amerika Syarikat.
Ditanya kemungkinan pemilihan dalam bancian Harakah itu hanya membabitkan penyokong PAS sahaja, Khalid berkata: Tanpa satu sistem pungutan suara yang bebas di Malaysia, bancian Harakah harus diberi perhatian kerana pemilihanya bukan dari Umno. Kalau orang Umno, tentu hasilnya akan dipertikaikan.
Menimbulkan keraguan
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Mustapha Mohamad dilaporkan berkata bancian PAS mengenai bakal pengganti Mahathir adalah satu usaha untuk menimbulkan keraguan di kalangan ahli Umno dan rakyat Malaysia.
Menurutnya Abdullah telah diberi kepercayaan penuh oleh Mahathir dan ini telah disokong sebulat suara oleh ahli-ahli Umno melalui perwakilan yang mengadakan pemilihan dua tahun lalu.
Manakala ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Salleh Tun Said dilaporkan berkata soal peralihan kuasa kepimpinan Umno tidak berbangkit pada masa ini kerana Mahathir selaku Presiden Umno terus mendapat sokongan rakyat dan anggota parti.
Oleh itu, katanya, apa yang penting ialah membantu Mahathir terus membawa kejayaan kepada negara kita dan mendoakan agar kesihatan beliau mengizinkan untuk terus memimpin Umno dan Malaysia.
Katanya, tradisi parti memang ada dan apabila sampai masanya, maka timbalan presiden Umno Abdullah Badawi akan menggantikan beliau.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.