Lebih 1,500 penunjuk perasaan yang berkumpul di luar bangunan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini menyeru supaya dilancarkan perang jihad terhadap Israel bagi menamat kekejaman rejim zionis itu terhadap rakyat Palestin

Mereka membawa sepanduk yang antaranya berbunyi Hanya jihad jawapannya dan Siapakah pengganas sebenarnya.

Menurut laporan AFP , para penunjuk perasaan itu turut membakar bendera Israel sambil melaungkan Hidup Islam, hidup kemanusian. Hapuskan Israel, hapuskan Amerika, hapuskan Yahudi.

Memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, maka Kedutaan Amerika di sini yang dilihat menyokong rejim Zionis itu, menjadi sasaran tunjuk perasaan hari ini yang dianjurkan bersama oleh Barisan Alternatif yang diketuai oleh PAS.

Kira-kira 100 anggota polis berkawal di situ sewaktu wakil penganjur tunjuk perasaan itu menyerahkan nota bantahan kepada wakil kedutaan Amerika. Mereka kemudiannya beredar dengan aman.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar berkata sebelum ini Amerika mengisytiharkan Osama bin Laden dan Taliban sebagai pengganas dan kemudian menyerang Afghanistan.

Katanya, memandangkan Israel juga merupakan sebuah negara pengganas maka OIC (Persidangan Pertubuhan Negara Islam) juga perlu mengambil tindakan yang sama bagi menamatkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Kesatuan Eropah dikecam

Sementara itu, Wanita Keadilan dalam satu kenyataan, mengecam masyarakat antarabangsa, terutamanya negara anggota Kesatuan Eropah yang hanya berdiam diri ketika Israel menyerang dan menzalimi rakyat Palestin.

Oleh, ia menyeru rakyat di seluruh dunia supaya bangkit mengutuk kekejaman Israel itu yang disokong sepenuhnya oleh pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat.

Presiden George W Bush tidak pernah mengutuk serangan Israel terhadap rakyat Palestin, tetapi sebaliknya menggesa Presiden Arafat supaya mengambil tindakan memberhentikan serangan berani mati pejuang Palestin terhadap rakyat Israel, kata kenyataan itu.

Pertubuhan Teras Pengupayaan Melayu (Teras) juga turut mengutuk serangan Israel ke atas rakyat Palestin dengan menggesa supaya resolusi yang diputuskan dalam persidangan menteri luar OIC baru-baru diterjemahkan segera dalam bentuk tindakan yang konkrit.

Sesungguhnya deklarasi semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah Palestin yang semakin meruncing, kata presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini.

Selaras dengan itu, Teras menggesa rakyat Malaysia supaya memulau semua barangan dan perkhidmatan Amerika, sebagai tindak balas dan tekanan ke atas Presiden Bush yang membenarkan Israel membunuh ribuan rakyat Palestin.

Teras juga menggesa negara-negara Islam supaya memberi tekanan kepada kerajaan Turki dan Arab Saudi supaya menutup pangkalan tentera Amerika Syarikat dan mengeluarkan tenteranya dari kedua-dua negara Islam berkenaan.

Kami juga mendesak semua negara Islam agar hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat digantung sebagai tekanan kuat untuk memaksa Amerika mengeluarkan tentera Isreal dari bumi Palestin, kata Mohd Azmi.

Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya dipindahkan semua wang milik negara-negara Islam yang disimpan di bank-bank Amerika.