Singapura dituduh bersikap provokatif
Barisan Bertindak Rakyat Malaysia (MPAF) menyifatkan tindak-tanduk kerajaan Singapura berhubung isu Pulau Pisang mencerminkan sikap provokatif republik tanpa mengira kesan tindakan itu terhadap hubungan dua hala Malaysia-Singapura.
Pengerusi MPAF Datuk Suhaimi Ibrahim hari ini menegaskan Singapura nampaknya semakin berani menceroboh kawasan perairan Malaysia dan kawasan laut yang melepas sempadan antarabangsa.
Beliau mengulas laporan mengenai anggota tentera dan polis Singapura yang berpakaian preman yang dikesan bebas keluar masuk menjalankan kegiatan mereka di Pulau Pisang, di perairan Pontian, tempat rumah api milik Pihak Berkuasa Pelabuhan Maritim Singapura (PBPMS).
Selain dua pekerja PBPMS di rumah api itu, anggota keselamatan negara jiran itu dilaporkan bergerak bebas di pulau milik Malaysia itu tanpa melalui prosedur imigresen biasa.
Jelas Singapura bersikap provokatif. Sekiranya republik itu mahu mewujudkan hubungan baik dua hala antara kedua-dua negara, ia mesti faham sensitiviti negara ini, katanya kepada malaysiakini .
Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata memang ada perjanjian yang dikatakan memberi hak kepada Singapura menggunakan pulau berkenaan untuk tujuan tertentu.
Tetapi Perdana Menteri berkata bahawa perjanjian tersebut, yang ditandatangani pada zaman pemerintahan British, sepatutnya perlu diubahsuai sekarang. Beliau turut bertanya adakah perjanjian itu masih relevan sepertimana juga perjanjian berhubung bekalan air ke Singapura.
Masalah sayur
Mengenai laporan mengenai tindakan Singapura mengurangkan pembelian sayuran daripada Cameron Highlands, Suhaimi yang juga Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata, pihaknya sudah menduga tindak-balas seumpama itu akan berlaku apabila wujud masalah dalam hubungan antara kedua-dua negara.
Persatuan Penanam Sayuran India di Cameron Highlands hari ini mendakwa permintaan terhadap sayuran dari Cameron Highlands telah jatuh mendadak berikutan kurangnya belian daripada Singapura.
Setiausaha persatuan itu, P Sambasivam mendakwa republik itu kini lebih membeli sayuran daripada Thailand, sekaligus mengakibatkan kejatuhan harga sayuran dari Cameron Highlands.
Dalam ini, Suhaimi berkata selagi masalah hubungan antara kedua-dua negara ini tidak selesai, selagi itulah akan berlaku tindak-balas sama ada dari Singapura ataupun Malaysia.
Oleh itu, rakyat Malaysia mesti bersiap sedia untuk menghadapi sebarang tindakbalas dari Singapura. Kita harap kerajaan akan mengambil langkah proaktif untuk memastikan ianya tidak memberi kesan kepada rakyat, terutamanya dari segi perdagangan.
Sebenarnya, kita pun berhadapan dengan masalah bekalan sayur untuk pasaran domestik. Lebihan sayuran itu boleh disalurkan untuk keperluan tempatan. Selama ini, peniaga kita bergantung kepada pasaran Singapura kerana harganya mahal berikutan berbezaan kadar tukaran wang, katanya.
Oleh itu, Suhaimi menggesa pihak berkuasa terutamanya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian, mengambil langkah bagi mengurangkan pergantungan jualan sayur oleh petani di Cameron Highlands kepada Singapura.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.