Pegawai kanan Pesuruhjaya Tinggi Kanada kunjungi pemogok lapar
Seorang pegawai kanan Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia hari ini mengunjungi sebelas orang yang melancarkan mogok lapar di markas PAS di Gombak, Selangor yang masuk hari ketujuh.
Mereka mengadakan mogok lapar itu sebagai menyokong usaha pembebasan enam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sedang menjalani perintah tahanan selama dua tahun.
Keenam-enam tahanan ISA itu yang turut melancarkan mogok lapar di Kem Kamunting di Perak ialah pemimpin Keadilan Mohd Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Lokman Noor Adam, Badrul Amin Bahron, Saari Sungib dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.
Mereka dikena perintah tahanan selama dua tahun kerana didakwa merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.
Mereka melancarkan mogok lapar itu mulai 10 April lalu, sempena genap setahun mereka ditahan di bawah ISA, bagi menuntut supaya mereka dibebaskan tanpa syarat atau didakwa di mahkamah terbuka.
Mereka juga menuntut supaya bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan menjalani rawatan sakit tulang belakangnya di luar negeri.
Kaunselor Leslie James tiba ke markas PAS di Taman Melewar kira-kira 4 petang dan bertemu dengan mereka yang melancarkan mogok lapar itu termasuk Raja Petra Raja Kamaruddin, ahli majlis tertinggi Keadilan N Gobalakrisnan dan anak Saari, Mutanah, seorang penuntut jurusan komputer sains di sebuah universiti tempatan.
Turut menziarahi mereka hari ialah ahli majlis tertinggi PAS Mohamad Sabu, ketua dewan pemuda PAS Mahfuz Omar, timbalan presiden Keadilan Abdul Rahman Othman dan ketua penerangan Keadilan Ruslan Kassim.
Satu hati
Sementara itu, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan turut berpuasa mulai Ahad lalu sebagai menyokong usaha membebaskan keenam-enam penyokong yang ditahan di bawah ISA itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya Sankara Nair semalam, Anwar berkata tindakannya itu sebagai mencerminkan rasa simpati dan satu hati bagi membantah tahanan keenam-enam pemimpin Keadilan itu di bawah ISA.
Anwar, yang sebelum ini dianggap sebagai bakal pengganti Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, kini menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah atas kesalahan rasuah dan liwat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.