Muhd Taib: PAS hanya lalaikan orang Melayu

comments     Nash Rahman     Published     Updated

Orang Melayu mungkin menjadi bangsa kelas kedua di tanahair sendiri jika mereka mudah terikut-ikut dengan rentak parti pembangkang, terutamanya PAS yang hanya membazirkan masa bercakap mengenai perkara-perkara yang tidak berfaedah, kata naib presiden Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini.

Lebih banyak isu penting lain yang perlu difikirkan. Yang penting orang Melayu perlu bersatu untuk terus menjadi satu bangsa yang maju dan dihormati, bukannya menghabis masa bercakap mengenai soal kafir-mengkafir, seolah-olah itu sahaja isu yang penting bagi mereka, katanya kepada malaysiakini .

Muhammad Taib menegaskan demikian ketika diminta komen mengenai laporan akhbar bahawa ahli Exco PAS Negeri Terengganu, Abu Bakar Chik menuduh bekas Ahli Parlimen Machang, Kelantan, Datuk Shukri Mohamad sebagai kafir.

Abu Bakar mendakwa ini kerana Shukri membuat kenyataan bahawa hukum hudud sebagai zalim semasa `Forum Hukum Hudud PAS' di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Sulaiman II, di Kuala Terengganu pada 10 April lalu.

Shukri merupakan salah seorang daripada tiga anggota penal `Hukum Hudud PAS' anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas. Turut menjadi panel ialah Timbalan Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Timbalan Ketua Umno Kemaman, Ahmad Saberi Chik dan Shukri.

Sewaktu berucap menggulung pembahasan usul ucapan terima kasih atas titah Sultan Terengganu di sidang Dewan Undangan Negeri semalam, Abu Bakar berkata mengikut ilmu yang dipelajarinya, tindakan Shukri itu mengakibatkan dia menjadi kafir.

Walaupun beberapa Ahli Undangan Negeri dari Umno membantah dengan mengatakan bahawa Shukri tidak pernah menyebut sedemikian, namun Abu Bakar menegaskan bahawa beliau mempunyai bukti rakaman ucapan Shukri di majlis itu.

Perbuatan lumrah

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Muhd Taib berkata perbuatan menuduh kafir-mengkafir itu sudah lumrah di kalangan parti pembangkang, terutamanya PAS.

Akibat perbalahan sesama sendiri, katanya, orang Melayu menjadi lalai untuk memikirkan isu-isu lain yang penting bagi menjamin orang Melayu tidak menjadi bangsa kelas kedua di tanahair mereka sendiri.

Bagi saya apa yang penting ialah menggalakkan orang Melayu jadi bangsa yang cemerlang. Bagi PAS yang asyik bercakap mengenai kafir mengkafir, seolah-olah dalam hidup ini tidak ada perkara lain kecuali yang itu sahaja, tambah Muhd Taib.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In