Pemuda Umno dakwa mogok lapar ISA haram di sisi Islam
Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuasa sebagai menyokong tindakan enam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melancarkan mogok lapar di Kem Tahanan Kamunting telah menimbul perdebatan baru apabila Pemuda Umno mendakwa tindakan itu haram mengikut ajaran Islam.
Ketua Sekretariat Tetap Agama Pergerakan Pemuda Umno, Ustaz Shamsul Najmi Samsuddin mendakwa hanya agama Hindu sahaja yang menggalakkan pengikutnya berlapar atas alasan tertentu mengikut amalan agama mereka.
Bagaimanapun, katanya dalam dalam al-Quran tiada satu ayat pun yang menggesa umatnya berlapar selain berpuasa Ramadan dan puasa sunat kerana Allah.
Shamsul Najmi dilaporkan oleh Umno-Online sebagai berkata Allah mensyariatkan hambanya supaya berpuasa kerana-Nya dan ia termaktub sebagai Rukun Islam serta diperjelaskan dalam al Quran.
Oleh itu, apabila Anwar serta individu lain melakukan mogok lapar kerana kononnya sebagai tindakan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Shamsul Najmi mendakwa ia bukan sahaja sia-sia tetapi haram di sisi Allah.
Beliau mendakwa tindakan itu juga boleh menjurus kepada amalan syirik kerana melakukan sesuatu bukan kerana Allah.
Perhatian dunia
Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS pusat, Mohamad Sabu pula berkata mogok lapar itu diadakan sebagai langkah terakhir untuk menarik perhatian umum dan masyarakat antarabangsa supaya mendesak kerajaan membebaskan tahanan ISA.
Kita sudahpun menghantar memorandum dan bantahan terhadap tindakan kerajaan menahan mereka di bawah ISA. Setakat pengetahuan saya, kita buat begitu untuk menarik perhatian orang ramai dan perhatian dunia, tambahnya.
Mohamad juga menarik perhatian terhadap perjuangan rakyat Palestin yang mengebom diri mereka di khalayak ramai sebagai jalan terakhir penentangan mereka terhadap kezaliman regim Israel.
Walaupun mereka membunuh diri cara sedemikian, alim ulama di sana mengisytiharkan mereka sebagai mati syahid, tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula berpendapat tiada salahnya berpuasa sedemikian jika cukup syarat dan rukunnya.
Oleh itu, katanya, adalah tidak sesuai untuk menghukum tindakan sedemikian haram atau tidak kerana ia bergantung kepada niat orang berkenaan dengan Allah, ketika dia melakukan puasa.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.