Mogok lapar — saya menegur, bukan menghina: Shamsul Najmi
Ketua Sekretariat Tetap Agama Pergerakan Pemuda Umno, Ustaz Shamsul Najmi Samsuddin hari ini menjelaskan bahawa kenyataannya mengenai mogok lapar oleh enam tahanan Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) adalah untuk menegur, dan bukannya menghina mereka.
Saya tidak menghina apa yang mereka buat, tetapi saya menegur sebagai rakan perjuangan politik. Kalau kita nak buat protes atau demonstrasi, biarlah bertepatan dengan rasional agama itu sendiri, tanpa memudaratkan kesihatan sendiri, katanya kepada malaysiakini .
Katanya, banyak ayat dalam al-Quran mengenai perkara ini, dan salah satu daripadanya ialah surah al-Baqarah, ayat 195, yang bermaksud janganlah kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan.
Oleh kerana itu, mogok lapar tidak ada asas dalam agama. Yang ada dalam agama adalah berlapar secara beretika, iaitu berpuasa di mana kita mesti bersahur dan berbuka puasa. Jika tidak ia tidak menjadi ibadat, tetapi membawa kepada kemaksiatan, katanya.
Oleh itu, Shamsul Najmi berkata, beliau tetap dengan pendiriannya bahawa tindakan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuasa sebagai menyokong mogok lapar oleh enam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting, Perak adalah haram mengikut ajaran Islam.
Shamsul sebelum ini telah dipetik oleh Umno-Online sebagai berkata, hanya agama Hindu sahaja yang menggalakkan pengikutnya berlapar atas alasan tertentu mengikut amalan agama mereka.
Bagaimanapun, katanya dalam al-Quran tiada satu ayat pun yang menggesa umatnya berlapar selain berpuasa Ramadan dan puasa sunat kerana Allah.
Sebaliknya, kata Shamsul Najmi, Allah mensyariatkan hambanya supaya berpuasa kerana-Nya dan ia termaktub sebagai Rukun Islam serta diperjelaskan dalam al Quran.
Amalan syirik
Oleh itu, katanya, tindakan mengadakan mogok lapar itu boleh menjurus kepada amalan syirik kerana melakukan sesuatu bukan kerana Allah.
Keenam-enam tahanan ISA itu yang melancarkan mogok lapar di Kem Kamunting ialah pemimpin Keadilan Mohd Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Lokman Noor Adam, Badrul Amin Bahron, Saari Sungib dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.
Mereka dikena perintah tahanan selama dua tahun kerana didakwa merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.
Mereka melancarkan mogok lapar itu mulai 10 April lalu, sempena genap setahun mereka ditahan di bawah ISA, bagi menuntut supaya mereka dibebaskan tanpa syarat atau didakwa di mahkamah terbuka.
Mereka juga menuntut supaya bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan menjalani rawatan sakit tulang belakangnya di luar negeri.
Sementara itu, Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Baling, Ustaz Taib Azamudden Md Taib, mencadangkan supaya Pemuda Umno menziarahi tahanan ISA di Kemunting sebelum menjatuhkan sebarang hukum terhadap tindakan mereka melancarkan mogok lapar.
Beliau yang juga bekas imam Masjid Negara, berkata dengan berbuat demikian beliau (Shamsul Najmi) akan dapat mengetahui sendiri kedudukan sebenarnya mengenai apa yang berlaku di sana.
Kalau betul, maka bolehlah beliau menasihatkan mereka. Janganlah dipolitikkan perkara ini. Mogok lapar itu bukanlah masalah Umno atau mana-mana parti politik, tetapi mereka berbuat demikian bagi menuntut keadilan kerana ditahan di bawah ISA, tambahnya.

