Jakim digesa tubuh forum untuk penulis bincang Islam
Persatuan Ulama Kedah (PUK) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)supaya mewujudkan sebuah forum khas sebagai saluran kepada penulis menyalurkan pendapat mereka mengenai perkara berkaitan dengan Islam.
Presidennya Sheikh Abu Bakar Awang berkata, cadangan itu terkandung dalam memorandum yang dihantar oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan tujuh badan bukan kerajaan (NGO) kepada Jakim Januari lalu.
Melalui memorandum itu, mereka menggesa Jakim mengambil tindakan terhadap beberapa penulis yang didakwa membuat kenyataan yang menghina Islam. Memorandum yang sama turut dihantar kepada Majlis Raja-Raja Februari lalu.
Selepas menelitinya, Majlis Raja-Raja telah merujuk perkara kepada Majlis Hal-Ehwal Islam Kebangsaan (MEIK). Dalam mesyuaratnya minggu lalu, MHEIK mengambil keputusan untuk meneliti terlebih dahulu memorandum itu dan penjelasan bertulis oleh penulis-penulis terbabit, sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Dalam satu kenyataan bersama Teras Perpaduan Melayu (Teras), Sheikh Abu Bakar berkata, melalui forum yang dicadangkan, sebarang pandangan mengenai perkara yang sudah dipersetujui para ulama boleh dibincangkan bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salahfaham.
Islam tidak boleh disamakan dengan bidang perubatan atau kejuruteraan. Oleh itu, perkara berkaitan Islam tidak boleh dijadikan bahan perbincangan umum, kata beliau.
Pasukan khas
PUK dan Teras juga turut mengalu-alukan langkah Jakim untuk memastikan hanya penulis sambilan dan kolumnis yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Islam dibenarkan menulis di media di negara ini.
Akhbar The Star melaporkan hari ini bahawa Jakim akan mengadakan perjumpaan dengan semua ketua pengarang akhbar untuk menjelaskan perkara itu.
Menurut akhbar berkenaan, jabatan itu juga sudah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menilai kelayakan penulis sambilan dan kolumnis bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai pengetahuan Islam yang mendalam boleh menulis di dalam akhbar.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.