Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong seruan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mereka yang melancarkan mogok lapar supaya berhenti berbuat demikian demi menjaga kesihatan dan keselamatan jiwa mereka yang wajib dipelihara.

Sebarang bentuk tindakan yang boleh menjejaskan jiwa haruslah dielakkan kecuali di dalam peperangan, kata setiausaha agung Abim, Shahran Kasim dalam satu kenyataan hari ini.

Enam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting di Perak telah melancarkan mogok lapar mulai 10 April lalu, sempena genap setahun mereka ditahan di bawah ISA, bagi menuntut supaya mereka dibebaskan tanpa syarat atau didakwa di mahkamah terbuka..

Mereka ialah pemimpin Keadilan Mohd Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Lokman Noor Adam, Dr Badrul Amin Bahron, Saari Sungib dan penulis malaysiakini dan karyawan filem Hishamuddin Rais.

Mereka dikena perintah tahanan selama dua tahun kerana didakwa merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Mereka juga menuntut supaya bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan menjalani rawatan sakit tulang belakangnya di luar negeri.

Berikutan itu, seramai 13 orang lain menyertai kempen mogok lapar anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bertempat di markas parti PAS di Taman Melewar Gombak, Kuala Lumpur.

Manifestasi kegagalan kerajaan

Sehubungan itu Shahran berkata, Abim tetap dengan pendiriannya bahawa tindakan menggunakan ISA di atas dasar perbezaan politik hendaklah dihentikan dengan serta-merta.

Mereka yang ditahan hendaklah diadili secara terbuka di mahkamah dengan mengemukakan bukti-bukti tuduhan yang kukuh. Tindakan para tahanan melancarkan mogok lapar adalah manifestasi kegagalan pihak-pihak berwajib dalam menjaga kebajikan dan tuntutan mereka, katanya.

Shahran berkata, Abim juga mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menghantar delegasi ke Kem Tahanan ISA di Kamunting bagi meninjau keadaan sebenar kesemua tahanan.

Kita berharap hasil penyiasatan ini dikeluarkan bagi membolehkan masyarakat mengetahui keadaan sebenar yang telah berlaku, tambahnya.

Rabu lalu Suhakam telah mengeluarkan kenyataan bahawa suruhanjaya yang bakal dilantik hujung bulan ini akan mengadakan siasatan mengenai bantahan keenam-enam tahanan ISA di Kamunting. Sementara itu, pesuruhjaya Prof Hamdan Adnan telah melawat tahanan berkenaan Sabtu lalu.