SIS dakwa Jakim mahu bisukan penulis Islam
Badan bukan kerajaan Sisters In Islam (SIS) mempersoalkan kewajaran tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghadkan penulisan mengenai Islam dalam media di negara ini hanya kepada mereka yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam.
Sambil menyifatkannya sebagai menyerupai pemerintahan theokrasi lagi bersifat diktator, SIS menegaskan ia seolah-olah menggambarkan satu usaha pihak yang berkuasa untuk menghadkan perbincangan mengenai ajaran Islam di Malaysia hanya kepada mereka yang mempunyai satu pandangan tertentu sahaja.
Dalam kenyataannya hari ini, SIS turut melahirkan kebimbangannya, terutama mengenai pandangan dominan di kalangan sesetengah tokoh dan pendakwah Islam di Malaysia, yang menurutnya, sering cenderung mendiskriminasi dan membawa keadilan yang keterlaluan.
Oleh itu, SIS menegaskan perlunya ada ruang umum bagi umat Islam untuk memberi pendapat mereka mengenai isu-isu semasa yang penting bagi kesejahteraan sosial umat.
Ruang awam itu, kata SIS, merupakan saluran perbincangan di kalangan orang Malaysia yang tidak bersetuju dengan pendakwah yang berceramah di masjid, ruang akhbar dan media elektronik yang lain.
Sehubungan itu, SIS meminta Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan ahli Kabinet supaya mengambil pendirian tegas menghalang kecenderungan kepada pemerintah diktator theokrasi yang dikehendaki oleh segolongan pihak berkuasa agama yang terdapat dalam kerajaan dan pihak pembangkang.
Akhbar The Star hari ini melaporkan langkah Jakim untuk memastikan hanya penulis sambilan dan kolumnis yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Islam dibenarkan menulis di media di negara ini.
Sehubungan itu, Jakim akan mengadakan perjumpaan dengan semua ketua pengarang akhbar untuk menjelaskan perkara itu.
Menurut akhbar lagi, Jakim juga sudah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menilai kelayakan penulis sambilan dan kolumnis bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai pengetahuan Islam yang mendalam boleh menulis di dalam akhbar.
Dipelawa, bukan dipanggil
Sambil melahirkan rasa terkejut mengenai laporan itu, SIS berkata, sebaliknya, soal menghalang penulis dan kolumnis menulis tentang Islam, tidak pernah dibangkitkan dalam dialog yang berterusan selama dua setengah jam dengan Ketua Pengarah Jakim, Haji Mohd Shahrir Abdullah.
Wakil SIS telah bertemu dengan Jakim pada hari Rabu berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan Islam.
Ia juga membantah laporan akhbar berkenaan yang menyebut SIS dipanggil oleh Jakim kerana ia sebenarnya dipelawa untuk mengadakan perbincangan bagi membolehkan jabatan berkenaan menulis laporan yang seimbang kepada Majlis Raja-Raja sebagai balasan kepada memorandum Persatuan Ulama Malaysia (PUM).
Malah, kata SIS lagi, Haji Mohd Shahrir menyambut baik peranan SIS menyedarkan orang awam mengenai hak-hak wanita dalam Islam dan memberi maklumbalas kepada pihak berkuasa agama mengenai kesan dasar dan undang-undang Islam serta ceramah mengenai kedudukan dan hak wanita Islam.
PUM dan dan tujuh badan bukan kerajaan (NGO) telah menghantar memorandum kepada Jakim Januari lalu, menggesa jabatan itu mengambil tindakan terhadap beberapa penulis yang didakwanya membuat kenyataan yang menghina Islam. Memorandum yang sama turut dihantar kepada Majlis Raja-Raja Februari lalu.
Selepas menelitinya, Majlis Raja-Raja telah merujuk perkara kepada Majlis Hal-Ehwal Islam Kebangsaan (MEIK). Dalam mesyuaratnya minggu lalu, MHEIK mengambil keputusan untuk meneliti terlebih dahulu memorandum itu, dan penjelasan bertulis oleh penulis-penulis terbabit, sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.