NGO berperanan memberi pandangan kedua: Abim
Kerajaan tidak seharusnya menganggap kritikan badan bukan kerajaan (NGO) terhadap dasar-dasarnya semata-mata bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Ahmad Azam Abdul Rahman hari ini.
Sebaliknya, kata beliau, NGO juga berperanan untuk memberi pandangan kedua sebagai maklumbalas kepada kerajaan mengenai prestasi baik dan buruknya sesuatu dasar yang dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata wujudnya anasir-anasir jahat di dalam dan luar negara yang tidak menyenangi kemajuan Malaysia dan cuba menjatuhkan negara ini dengan menimbulkan huru-hara dan menggugat perpaduan rakyat berbilang kaum.
Menurut Perdana Menteri, terdapat pihak-pihak tertentu berselindung di sebalik NGO dan parti politik yang menggunakan isu perkauman dan keagamaan untuk mempengaruhi rakyat supaya menentang usaha dan dasar kerajaan membina negara yang aman, maju dan makmur.
Dr Mahathir bagaimanapun tidak menyatakan nama NGO yang terbabit dalam kegiatan tersebut.
Beliau juga menegaskan bahasa kerajaan sudah membuktikan ketegasannya apabila bertindak mengikut undang-undang sedia ada untuk membanteras dan menyekat beberapa kumpulan militant yang cuba menimbulkan huru-hara dan keganasan dalam negara.
Dr Mahathir menegaskan demikian dalam ucapan tahniah dan taat setia di istiadat pertabahan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, di Istana Negara, semalam.
Ukuran yang berguna
Mengulas lanjut, Azam berkata kerajaan sepatutnya menerima baik dan menggalakkan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk badan NGO kerana ia boleh dijadikan ukuran yang berguna terhadap keberkesanan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Oleh itu, katanya, adalah tidak sesuai bagi mana-mana untuk mentafsirkan tindakan badan NGO mengkritik dasar-dasar pembangunan negara sebagai salah satu usaha hendak menjatuhkan kerajaan.
Bagaimanapun, kata Azam, Abim menyokong tindakan tegas diambil terhadap mana-mana NGO yang terbukti didalangi orang luar untuk menimbulkan krisis kepercayaan kepada kerajaan dalam suasana selepas peristiwa serangan 11 Sept lalu.
Selepas peristiwa 11 Sept, soal keganasan sentiasa dikaitkan dengan Islam dan negara Islam. Kalau ada bukti, tindakan tegas perlu diambil kerana tujuan mereka mengkritik bertujuan menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan yang memerintah.
Kerajaan pula perlu mampu membezakan antara kedua-dua kumpulan ini. Kalau badan yang berdaftar memberi pandangan kedua kepada kerajaan kerana mahu membantu memperbaiki dasar-dasar kerajaan, maka mereka sepatutnya diberi pengiktirafan kerana sumbangan itu, katanya.
Sementara itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) tidak berminat memberi sebarang ulasan kerana Dr Mahathir tidak menyebut nama NGO yang didakwanya terbabit dengan kegiatan untuk menjatuhkan kerajaan.
Oleh kerana beliau tidak menyebut siapakah yang sebenarnya melakukan perkara itu, maka PUM berpendapat tidak perlulah baginya untuk membuat sebarang ulasan mengenai perkara itu, kata presidennya Haji Ghani Shamsudin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.