Gagasan 1Malaysia, ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah selari dengan prinsip hak asasi manusia, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Abu Talib Othman.

Beliau berkata sehubungan itu, rakyat sentiasa menunggu-nunggu pelaksanaan gagasan itu yang mengutamakan kepentingan rakyat khususnya hak asasi mereka dalam semua perkara.

"Pada pandangan saya, dasar perdana menteri adalah selari dengan prinsip hak asasi manusia bagi memastikan kehidupan yang bermaruah untuk semua.

"Pelaksanaan dasar penting ini yang pro kepada hak asasi manusia memang dinanti-nantikan oleh rakyat.

"Janganlah (selepas ini) tulis surat kepada kerajaan tidak dijawab, buat report dekat polis tidak diendahkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Hak Asasi Manusia Malaysia 2009 dengan tema, "Human Rights in Malaysia: The Last 10 Years" di Kuala Lumpur hari ini.

Abu Talib berkata kerajaan berkuasa dalam menentukan pelbagai agensi kerajaan supaya berkhidmat dengan berkesan dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau berkata jika gagasan itu dilaksanakan sebaik mungkin, ia akan dapat meningkatkan lagi kedudukan hak asasi manusia di negara ini kerana hak-hak ini bukan sahaja ditentukan oleh undang-undang tetapi juga perlu berinteraksi dengan kerajaan.

"Oleh kerana ini (1Malaysia) terikat dengan kepentingan rakyat, hak asasi manusia, hak rakyat. Hak-hak ini tidak ditentukan oleh undang-undang ada juga kita kena berinteraksi dengan kerajaan, minta pertolongan dan sebagainya," katanya.

Abu Talib berkata kerajaan juga berkehendakkan undang-undang yang bukan sahaja baik tetapi orang yang baik dalam menguatkuasakan undang-undang tanpa pilih kasih.

"Sesiapa yang langgar undang-undang sejajar dengan hak asasi manusia hendaklah diambil tindakan, janganlah pilih kasih. Apa yang kita hendakkan adalah undang-undang dikuatkuasakan dengan sama rata kerana Perlembagaan telah nyatakan dengan jelas semua orang sama di sisi undang-undang," katanya.

Terdahulu, ketika berucap Abu Talib berkata kebanyakan pandangan dan cadangan Suhakam masih belum dilaksanakan oleh kerajaan.

"Sebagai sebuah badan penasihat tanpa kuasa eksekutif, tiada apa yang boleh Suhakam lakukan bagi memastikan kerajaan memberikan respon dan mengambil tindakan terhadap apa yang dicadangkan. Akibatnya, pencabulan hak asasi manusia terus berlaku setiap hari," katanya.

Beliau berkata hanya kerajaan sahaja yang mempunyai keupayaan untuk memastikan bahawa polis dan agensi lain menghormati hak asasi manusia sambil mengekalkan keamanan serta keselamatan, dan sistem kehakiman adalah bebas serta berkesan dalam menyediakan akses kepada keadilan untuk semua rakyat.

"Mereka boleh membenarkan rakyat untuk menyuarakan dengan bebas keprihatinan mereka berhubung isu penting seperti penyalahgunaan dana awam, penyalahgunaan kuasa, penguatkuasaan undang-undang yang terpilih dan amalan salah.

"Dengan tidak membenarkan rakyat menyuarakan secara bebas keprihatinan mereka terhadap isu sedemikian, kita menggalakkan kempen desas desus yang akhirnya membawa kepada pergolakan sosial dan awam," katanya. BERNAMA