Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Peluang Tengku Adnan cerah dilantik ketua penerangan Umno

Teka-teki mengenai siapakah bakal dilantik menjadi ketua penerangan Umno Malaysia menjadi semakin hangat selepas tiga nama disebut-sebut akan dilantik mengisi jawatan itu tidak lama lagi.

Setakat ini mereka yang disebut berkemungkinan dilantik mengisi jawatan itu ialah Setiausaha Kerja Umno Datuk Tengku Adnan Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rais Yatim, dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Aziz Shamsudin.

Bagaimanapun, menurut sumber-sumber Umno, kemungkinan besar Tengku Adnan bakal dilantik memegang jawatan berkenaan kerana kedudukannya yang rapat dengan pucuk pimpinan parti.

Tengku Adnan juga merupakan ketua perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Namun begitu, kata sumber-sumber itu, peluang untuk Aziz dipilih juga tidak boleh diketepikan kerana beliau lama bertugas sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun nama Rais turut disebut sebagai salah seorang calon bagi mengisi jawatan itu, tetapi sumber-sumber itu berpendapat peluangnya tidak begitu cerah berdasarkan latar belakang politiknya yang pernah menganggotai Parti Semangat 46, sebelum kembali semula ke pangkuan Umno.

Sebagai setiausaha kerja Umno, Tengku Adnan mempunyai hubungan rapat dengan bahagian penerangan Umno dan juga Setiausaha Agung parti, Datuk Khalil Yaakob. Oleh itu, ramai yang berpendapat peluang beliau untuk dilantik ke jawatan itu lebih cerah, kata sumber-sumber itu.

Hubungan rapat

Menurut sumber dalaman Umno, nama Aziz turut disebut-sebut sebagai salah seorang calon bagi jawatan itu berkemungkinan berdasarkan hubungan rapat beliau dengan para pemimpin parti di peringkat akar umbi.

Jawatan ketua penerangan Umno kosong selepas penyandangnya Datuk Mustapha Mohamad melepaskan jawatan itu untuk memberi lebih tumpuan kepada Umno Kelantan yang diterajuinya.

Sebelum ini timbul desus-desas bahawa ada sekumpulan ketua bahagian di Kelantan yang mahu Mustapha melepaskan jawatan ketua perhubungan Umno Kelantan kerana beliau terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai ketua penerangan Umno Malaysia, serta Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN).

Bagaimanapun, perkara itu telah dinafikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tidak lama selepas itu, Mustapha mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatan ketua penerangan Umno, untuk memberi tumpuan kepada Umno Kelantan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS