Malaysia diminta mengambil kira tuntutan kerajaan Indonesia supaya pembantu rumah dari republik itu dibayar gaji bulanan minimum antara RM500 hingga RM600.

Duta besar Indonesia ke Kuala Lumpur Tan Sri Da'i Bachtiar berkata ia bagi mengelak diskriminasi terhadap mereka serta mengurangkan bilangan pekerja yang berstatus pendatang tanpa izin.

Katanya, pekerja yang terjejas ini adalah golongan yang baru tamat kontrak dengan majikan asal - apabila mereka tidak lagi dilindungi oleh agensi pekerjaan.

Jelasnya, masalah timbul apabila majikan menawarkan gaji yang lebih rendah kepada pekerja berkenaan

"Kalau majikan tidak mahu tandatangan kontrak baru, maka tidak akan diperbaharui kontraknya," kata dalam satu temubual di kedutaan berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelasnya, tuntutan itu adalah atas prinsip menjaga kebajikan rakyatnya di negara ini.

"Kerajaan mana-mana pun akan beri jaminan kepada rakyatnya," katanya.

Da’i berkata, Malaysia adalah antara negara yang paling rendah membayar gaji pembantu rumah Indonesia.

"Ada yang masih dibayar sekitar RM200 hingga RM300. Kenapa dibeza-bezakan sedangkan keupayaan mereka sama," katanya membandingkan dengan gaji yang dibayar di Hong Kong (RM1,631) dan Taiwan (RM1,649).

Jelasnya lagi, beliau maklum dengan pendirian Malaysia tidak menetapkan gaji minimum, walapun untuk pekerja tempatan.

"Tetapi kalau urusan antara agensi dengan pekerja, boleh diikut harga pasar. Tapi kalau antara orang dengan orang, pasarnya siapa?"

Katanya lagi, rundingan dengan Malaysia berhubung isu berkenaan telah menemui jalan buntu.

"Menteri sumber manusia tidak mahu bahas isu ini," katanya lagi.

Da'i dalam pada itu turut menyeru pendatang asing tanpa izin Indonesia di negara ini supaya menggunakan peluang balik kampung sempena hari raya ini untuk mendapatkan pengampunan kerana tinggal di negara ini tanpa kebenaran.

Beliau menganggarkan, kira-kira 1.2 juta penduduk Indonesia yang bekerja di negara ini akan pulang untuk menyamput hari raya.

"Saya menyeru kepada golongan pendatang tanpa izin supaya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan pengampunan.

"Kalau tidak punya wang, langsung boleh dibuat rayuan. Kalau tidak ada langsung, kedutaan akan tanggung,” tambahnya.