Umno Kelantan mampu menggoncang kekuatan kerajaan negeri yang diterajui parti PAS dalam pilihanraya umum akan datang sekiranya kekuatan yang dimilikinya digabung dalam satu gerakan yang berkesan.
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Umno Kelantan, kekuatan itu terletak pada diri ketua perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad, timbalannya, Datuk Anuar Musa, dan ketua Umno bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.
Kekuatan Datuk Ibrahim, terbukti melalui beberapa kejayaannya melalui Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) pimpinannya, menganjurkan perhimpunan rakyat, termasuk sewaktu sambutan ulangtahun pertabalan Sultan Kelantan baru-baru ini.
Datuk Anuar pula terkenal dengan kepetahannya berpidato, manakala Datuk Mustapha cukup disenangi rakyat, khususnya di Kelantan kerana sifatnya yang peramah, bersuara lembut dan tinggi budi bahasanya, kata sumber-sumber itu.
Katanya lagi, kekuatan yang terdapat dalam diri ketiga-tiga pemimpin ini, jika digabungkan dalam satu barisan, akan menghasilkan satu kekuatan yang amat diperlukan oleh Umno Kelantan untuk memberi saingan hebat kepada kerajaan negeri pimpinan PAS dalam pilihanraya umum nanti.
Oleh itu, kata sumber-sumber berkenaan, rahsia sebenar kekuatan Umno Kelantan ialah keupayaan dan kesediaan kesemua pemimpin parti di negeri itu untuk bersatu tenaga bagi mencapai matlamat berkenaan.
Kekuatan sebenar
Mereka perlu menerima hakikat Umno Kelantan sudahpun mempunyai kekuatan yang diperlukan untuk menggoncang kerajaan negeri yang diterajui PAS di negeri itu. Apa yang perlu ialah menggabungkan kekuatan itu bagi menghadapi pilihanraya akan datang, tambah sumber-sumber itu.
Sebelum ini, sebuah media perdana melaporkan bahawa 12 daripada 14 pemimpin Umno bahagian di Kelantan telah mengadakan perjumpaan untuk membincangkan kemungkinan mencari pengganti Mustapha sebagai ketua perhubungan Umno negeri.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kemudian menafikan perkara tersebut selepas mengadakan perjumpaan dengan barisan kepimpinan Umno Kelantan.
Tidak lama selepas itu, Mustapha telah melepaskan jawatan ketua penerangan Umno pusat kerana mahu memberi tumpuan kepada politik Kelantan, terutama dalam membuat persediaan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Tindakannya diikuti oleh Anuar, yang juga ahli majlis tertinggi Umno, yang mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan bidang perniagaan bagi menumpukan sepenuh masa dalam usaha untuk menawan Kelantan dari tangan PAS.
PAS berjaya menawan Kelantan dalam pilihanraya umum 1990, dengan bantuan parti Semangat 46, pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, melalui gabungan parti pembangkang, Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
Bagaimanapun, parti Semangat 46 kemudian dibubarkan, dan Tengku Razaleigh dan bekas ahli parti itu memohon menyertai semula Umno.
