versi mutakhir

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menggantung akhbar kontroversi Perdana Sari milik Khalid Jafri selama tiga bulan kerana didakwa melanggar syarat-syarat penerbitan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, lesen diberikan kepada akhbar Perdana Sari sebelum ini adalah berdasarkan kepada kertas cadangan yang dihantar.

Bagaimanapun, katanya, setelah mendapati terdapat beberapa syarat penerbitan yang dilanggar maka KDN mengambil keputusan menggantung lesen akhbar tersebut buat sementara waktu bagi tujuan penilaian semula.

Abdullah memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini difahamkan, selain penyiaran laporan yang mendakwa ketua Puteri Umno Azalina Othman adalah seorang lesbian, punca utama akhbar tersebut digantung ialah penyiaran beberapa keping gambar lucah yang tersebar diinternet bagi menarik pembaca membeli akhbarnya.

Walaupun beberapa bahagian gambar tersebut dihitamkan namun ia masih kelihatan kelucahannya yang tidak sesuai dengan peraturan akhbar.

Perdana Sari diterbitkan oleh Kingdom Journal milik Khalid Jafri yang menulis buku 50 dalil mengapa Anwar Ibrahim tidak boleh jadi PM.

Permit diharamkan

Tabloid mingguan Perdana Sari yang mula diterbitkan pada 31 Mac lalu, telah menyiarkan dalam edisi kedua, ketiga dan keempatnya, laporan yang mendakwa bahawa ketua puteri Umno, Azalina Othman adalah seorang lesbian.

Tabloid itu turut mendakwa bahawa Azalina juga telah menggunakan wang Puteri Umno untuk membeli sebuah kereta mewah berharga RM300,000 untuk kekasihnya.

Selain Perdana Sari , syarikat itu juga menerbitkan kira-kira sembilan majalah yang meliputi pelbagai bidang seperti hiburan dan hal-ehwal wanita. Ianya menerbitkan dua majalah dalam bahasa Inggeris, iaitu Club of Club (rekreasi) dan E-Ekonomi dalam bidang hartanah.

Syarikat ini juga pernah menerbitkan majalah ekonomi, Era Ekonomi , tetapi penerbitannya diberhentikan sementara untuk tujuan penyusunan semula. Syarikat itu juga, difahamkan, akan mula menerbitkan sebuah lagi tabloid, yang sudahpun diberi permit oleh KDN.

Difahamkan, ini merupakan kali kedua KDN mengambil tindakan ke atas penerbitan Kingdom Journal. Sebelum ini sebuah majalah terbitan syarikat berkenaan yang berjudul Janda dan Duda telah dibatalkan permit penerbitannya.

Sementara itu, malaysiakini menghubungi pejabat Kingdom Journal petang ini, dan diberitahu bahawa Khalid sedang menghadiri mesyuarat di pejabatnya.

Bagaimanapun, seorang kakitangannya, memberitahu malaysiakini bahawa KDN ada menghubungi Kingdom Journal pagi tadi untuk mengesahkan alamat syarikat berkenaan.

Bukti dalam buku

Sementara itu, Khalid berkata beliau akan menerbitkan buku bertajuk Bukti Azalina Lesbian setebal lebih 200 halaman untuk membuktikan dakwaan yang disiarkan dalam akhbar tabloidnya adalah benar.

Menurut laporan Agenda Daily , Khalid mendakwa mempunyai gambar-gambar serta beberapa saksi yang terlibat dalam adegan sumbang melibatkan Ketua Penaja Puteri Umno itu untuk dimuatkan dalam buku itu.

Mengulas tindakan KDN mengantung tiga bulan permitnya, Khalid berkata beliau akur dengan keputusan itu. Beliau meminta para pembaca tabloidnya bersabar sementara menunggu penerbitan semula pada bulan Ogos ini.

Serentak dengan itu Khalid mempersoalkan kenapa kerajaan tidak mengantung permit akhbar Harakah milik Pas yang menentang kerajaan, sedangkan Perdana Sari cuma mendedahkan skandal Azalina tetapi tidak menentang kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Beliau juga bertanya apa bezanya pendedahan akhbarnya mengenai Azalina dengan buku 50 Dalil& mengenai bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditulisnya dulu.

Saya hairan kenapa Umno tidak menyiasat dulu dakwaan itu sama ada benar atau tidak sebelum satu kesimpulan dibuat. Apa istimewanya Azalina?, katanya.

Khalid berkata seingat beliau Dr Mahathir sendiri pada mulanya tidak percaya bila diberitahu oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar mengenai perilaku Anwar tetapi akhirnya kes itu di bawa ke mahkamah setelah timbul kontrovesi mengenai buku tulisannya.

Ditanya lagi siapakah yang mula sekali memberi beliau maklumat untuk menyiasat dakwaan ini, Khalid secara terbuka berkata ia timbul dalam satu perbualannya dengan seorang pegawai tinggi di Ibupejabat Umno sendiri tidak lama sebelum Azalina dilantik sebagai Ketua Penaja Puteri Umno dulu.

Pegawai itu yang mengesyorkan kepada saya supaya siasat pekara ini sewaktu perbualan itu,katanya.