Kerja roboh Kpg Buah Pala disambung hari ini
Polis telah menutup semua jalan masuk dan keluar ke kampung Buah Pala, Bukit Gelugor untuk membolehkan syarikat pemaju projek mewah Oasis, merobohkan rumah-rumah di situ.
Penduduk berkata, sepasukan polis tiba di kampung itu seawal jam 6.30 pagi dan terus mengadakan sekatan jalanraya bagi menghalang orang luar masuk ke situ.
Pekerja perobohan dari syarikat pemaju Nusmetro Venture (P) Sdn Bhd pula tiba di kampung tersebut pada jam 7.30 pagi manakala sebuah jentolak masuk ke situ jam 9 pagi.
Pada jam 11 pagi, pekerja mula merobohkan 17 rumah milik penduduk yang telah berpindah. selain anggota polis, pekerja TNB juga memotong bekalan elektrik ke rumah terbabit.
Sebelum ini, pihak pemaju gagal merobohkan sebarang rumah di situ pada 3 dan 13 Ogos lalu.
Bagaimanapun, dalam percubaan kali ketiga pada 3 September lalu, mereka dapat merobohkan tiga rumah kosong dan sambungan sebuah lagi rumah.
Pada awalnya, 24 pemilih rumah dan kira-kira 300 penduduk di situ, membantah keputusan kerajaan negeri untuk menjual kawasan kampung itu kepada Koperasi Pegawai Pegawai Kanan Kerajaan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, selepas sebulan, 12 pemilik rumah menerima tawaran rumah teres dua tingkat dari pihak pemaju dan bersetuju untuk berpindah dari situ.
Difahamkan pihak pemaju merancang untuk merobohkan 12 rumah hari ini.
Rundingan sedang berjalan antara pihak pemaju, polis dan wakil persatuan penduduk berhubung kerja-kerja perobohan rumah di kampung yang sudah berusia 200 tahun itu.
Difahamkan juga persatuan penduduk mahu pemaju hanya merobohkan rumah-rumah yang dikosongkan oleh pemiliknya yang telah menerima tawaran pampasan.
Persatuan penduduk menentang perobohan rumah yang masih didiami pemiliknya.
Sebahagian daripada pemilik, telahpun merobohkan sendiri rumah mereka dan berpindah dari situ.
Baki 12 pemilik rumah, yang tidak mahu menerima pampasan tersebut, memberi cadangan balas yang meminta supaya mereka dibayar pampasan tunai RM300,000.
Mereka merancang untuk berpindah dan membangunkan sendiri kampung mereka di tanah berhampiran yang telahpun dikenalpasti.
Difahamkan, rundingan diadakan antara wakil persatuan penduduk, pemaju dan koperasi bagi menyelesaikan segera isu tersebut.
Bagaimanapun, pengarah syarikat pemaju, Gary Ho enggan berganjak dan meminta 12 penduduk terbabit supaya erpindah hari ini juga.
Penduduk terbabit telah diberika masa satu jam untuk membuat keputusan berhubung arahan berpindah itu.
Dua belas penduduk terbabit akan diberi rumah gantian dan disediakan pengangkutan untuk memindahkan barangan mereka.
Cadangan kampung baru
Pengerusi Penduduk Kampung Buah Pala, M Sugumaran telah membuat cadangan balas kepada Ho supaya memberi masa seminggu lagi kepada penduduk untuk membolehkan mereka melakukan upacara mengikut agama Hindu dan kemudian berpindah tanpa sebarang masalah.
Sugumaran juga merancang untuk mengemukakan permintaan bertulis kepada kerajaan negeri untuk membenarkan pemilik 12 rumah berkenaan tinggal di kawasan barat tapak projek tersebut untuk tempoh selama dua tahun sehingga kampung baru mereka siap.
Beliau mendakwa, memandangkan pelan projek bagi tapak di bahagian barat telah diluluskan, maka penduduk yang tinggal di tapak bahagian barat, tidak akan mengganggu pembinaan Oasis.
Bagaimanapun, pengarah eksekutif Nusmetro, Thomas Chan menolak cadangan tersebut dan berkata pihak pemaju tidak akan melayan lagi permintaan dari penduduk.

