Beri subsidi hantar anak ke taska
Majikan di sektor industri digesa agar memberikan bantuan susbsidi kepada pekerja mereka yang menghantar anak-anak ke pusat asuhan kanak-kanak (taska).
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata bantuan daripada segi pembiayaan kos itu bukan hanya mampu mengurangkan kebergantungan kepada pembantu rumah asing malah dapat meningkatkan kualiti pekerja mereka.
"Kita juga harap sektor perindustrian dapat mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak sendiri supaya dapat mengurangkan penggunaan pembantu rumah dan pada masa sama lebih ramai wanita dapat bekerja," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan Hari Raya kepada 95 orang saudara baru Orang Asli di Rompin hari ini.
Ditanya mengenai cadangan gaji minimum pembantu rumah sebanyak RM800, Maznah berkata perkara itu masih dalam rundingan antara Malaysia dan Indonesia.
"Setakat ini belum ada keputusan yang dibuat dan kita masih ikut keadaan pasaran tempatan," katanya.
Maznah berkata kementerian sedang mengkaji untuk meningkatkan pengambilan pembantu rumah dari negara lain seperti Filipina, Sri Lanka, India, Laos dan Thailand bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembantu rumah dari Indonesia. BERNAMA

