terjemahan

Walaupun pucuk pimpinan tertinggi MCA telah mencapai kata sepakat mengenai formula tiada pertandingan bagi semua jawatan parti, tetapi masih wujud kebimbangan mengenai kemungkinan timbul bantahan di peringkat akar umbi.

Berikutan itu, mesyuarat jawatankuasa pusat selama dua jam di ibu pejabat MCA hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menanggani kemungkinan itu. Jawatankuasa sembilan anggota itu dipengerusikan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik.

Bagi peringkat bahagian, kita menggalakkan mereka supaya menyelesaikan sesama sendiri sebarang masalah yang timbul supaya tiada pertandingan apabila pencalonan dibuat mulai 3 Mei.

Sekiranya timbul masalah, jawatankuasa khas itu akan berusaha sebagai orang tengah bagi menyelesaikannya, kata Dr Ling.

Turut hadir di sidang akhbar berkenaan ialah anggota lain jawatankuasa khas itu, termasuk timbalan presiden MCA Datuk Lim Ah Lek; naib presiden Datuk Dr Fong Chan Onn, Datuk Chua Jui Meng, Datuk Ong Ka Ting, Datuk Chan Kong Choy; dan setiausaha agong Datuk Dr Ting Chew Peh.

Menurut Dr Ling fungsi jawatankuasa berkenaan meliputi semua peringkat bahagian dan negeri, sehingga selesai perhimpunan agung tahunan parti pada Jun 29 depan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tugas jawatan khas itu hanya untuk menyelesai masalah, manakala pelaksanaan formula tiada pertandingan bagi jawatan parti, tetap menjadi tanggungjawab jawatan pemilihan parti yang dipengerusikan oleh Dr Ting.

Formula damai

Pertelagahan di antara Kumpulan A dan B, mencapai kemuncaknya selepas pengambilalihan dua akhbar berbahasa Cina pada bulan Mei lalu, dengan Kumpulan A pimpinan Dr Ling menyokong langkah berkenaan, tetapi ianya ditentang hebat oleh Kumpulan B pimpinan Lim.

Bagaimanapun, pertelagahan itu berjaya diatasi selepas kedua-dua belah pihak bersetuju menerima formula damai yang diusahakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan tegas Dr Mahathir itu dipercayai bertujuan memastikan sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional yang diterajui oleh Umno dalam pilihanraya umum akan datang, tidak terjejas.

Formula damai itu menggaris bahawa pemegang jawatan di semua peringkat parti dikekalkan sehingga ditentukan kelak, dan Kumpulan B pula menghentikan tuduhan mengenai wujudnya pengundi hantu dalam MCA.

Pencalonan bagi pemilihan peringkat bahagian nanti akan menentukan sama ada formula damai itu turut disokong oleh pemimpin akar umbi MCA  sama ada hanya nama pemegang jawatan dicalon ataupun ramai nama dikemukakan. Pemilihan peringkat bahagian dijadualkan pada Mei 15.