Pengalaman pahit akibat perpecahan dalam Umno tidak perlu berulang dalam MCA kerana ia hanya merugikan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini.

Katanya, ini kerana perpecahan seumpama itu selalunya mengambil masa yang panjang untuk diatasi, sepertimana yang telah dialami oleh Umno sebelum ini.

Itulah alasan sebenarnya ...Umno tidak mahu perpecahan yang dipernah dialaminya, berlaku pula dalam MCA, katanya kepada malaysiakini hari ini.

Pertelagahan dalam MCA membabitkan Kumpulan A yang menyokong Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, dan Kumpulan B pimpinan Timbalan Presidennya, Datuk Lim Ah Lek.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mencadangkan formula damai yang kemudiannya telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak di mana pemegang semua jawatan dalam parti dikekalkan sehingga tahun 2005.

Menurut Taib, perpecahan yang berlaku dalam Umno berikutan pertandingan jawatan presiden di antara Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987, telah mengakibatkan BN kehilangan Kelantan kepada PAS.

Walaupun pilihanraya umum itu diadakan pada 1990, iaitu selepas tiga tahun dari tarikh pertandingan itu, perpecahan di kalangan ahli Umno masih belum pulih. PAS telah mengambil kesempatan itu untuk menawan semula Kelantan, katanya.

Pemecatan Anwar

Dalam pilihanraya umum 1999, katanya, perpecahan dalam Umno, berikutan pemecatan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, juga telah membolehkan PAS menawan Terengganu.

Ini menunjukkan setiap pertelagahan atau perpecahan dalam mana-mana parti politik selalunya akan mengambil masa yang terlalu panjang untuk diselesaikan, dan akibatnya terlalu besar untuk dipikul oleh BN, khususnya dalam menghadapi pilihanraya umum.

Kerana itulah, Umno tidak mahu melihat perkara yang sama, akan berulang berikutan pertelagahan dan perpecahan yang berlaku dalam MCA. Kerana itulah formula damai dirangka bagi menyelesaikan masalah dihadapi MCA, katanya.

Menurut Taib, pilihanraya umum kali ini perlu diadakan sebelum 2004, iaitu kurang dua tahun dari sekarang.

Pertelagahan dalam MCA, jika dibiarkan berlanjutan, tentunya tidak mungkin dalam diselesai dalam tempoh dua tahun ini.

Inilah yang mahu kita elakkan berlaku, kerana undi MCA adalah kritikal di kawasan di mana BN memerlukan undi Cina untuk menang, katanya.