Suhakam akan bincang kesan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak: Hamdan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan membincangkan dalam mesyuaratnya akan datang masalah kebebasan media, khususnya mengenai kesan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 terhadap kebebasan akhbar di negara ini.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan membincangkan dalam mesyuaratnya akan datang masalah kebebasan media, khususnya mengenai kesan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 terhadap kebebasan akhbar di negara ini.
Pesuruhjaya Suhakam Datuk Prof Hamdan Adnan memberi jaminan bahawa Suhakam akan meletakkan soal kebebasan media sebagai suatu yang perlu diberi keutamaan.
Ia akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa (pada Mei 18) dan dalam mesyuarat penuh bulanan (Mei 20), katanya sebagai menjawab soalan wartawan yang ragu-ragu dengan kemampuan Suhakam menangani masalah berkenaan.
Terdahulu, sekumpulan wartawan menyampaikan memorandum kepada Suhakam, menuntutnya supaya suruhanjaya itu memainkan peranan untuk mengembalikan kebebasan media serta memansuhkan akta-akta yang mereka menyekat kebebasan media, seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.
Memorandum tujuh mukasurat itu dihantar sempena dengan Hari Kebebasan Media Sedunia yang disambut hari ini.
Ia menekankan bahawa kebebasan media adalah selaras dengan kandungan Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia mengenai kebebasan bersuara dan hak mendapatkan maklumat.
Hamdan mengakui bahawa perlunya untuk berbuat sesuatu bagi mengembalikan semula kredibiliti media yang agak terjejas sekarang.
Masalah kredibiliti
Adalah menyedihkan bagi negara kita (di mana pemerintah) tidak mendapat maklumbalas yang sebenarnya melalui media.
Contohnya, bagaimanakah rakyat dapat membicara mengenai pentadbiran negara yang baik, sedangkan mereka sendiri tidak begitu memahaminya kerana tidak dibincangkannya (melalui media arus perdana), ujar Hamdan.
Beliau turut mengakui bahawa media alternatif kini mendapat lebih perhatian berbanding media arus perdana berikutan wujudnya masalah kredibiliti yang disebabkan oleh sekatan undang-undang yang mengongkong kebebasan media.
Buat masa ini ada kira-kira 50 undang-undang yang membataskan komunikasi dan media. Dan lebih menyedihkan ialah adanya undang-undang yang memberikan kuasa kepada menteri untuk menutup akhbar tanpa sebarang alasan, serta tidak perlu ke mahkamah, tambah Hamdan.
Katanya, sekatan terhadap media sebenarnya merugikan negara sendiri kerana rakyat tidak mendapat maklumat yang sepatutnya dan ini boleh menyebabkan negara menghadapi kurang daya ketahanan dalam menghadapi arus globalisasi.
Sementara itu, pengamal media bebas, Ahmad Lutfi Othman yang pernah menerajui majalah Detik dan Wasilah yang kini telah diharamkan, merayu agar Suhakam menyarankan kepada kerajaan supaya memansuhkan akta yang mengongkong kebebasan media.
Ketika bercakap di majlis penyerahan memorandum itu, Lutfi berkata, media alternatif mungkin terus pupus suatu masa nanti kerana tidak ramai pencetak yang berani menanggung risiko mencetak hasil penerbitan mereka.
Syarat perlesenan
Memorandum yang disokong oleh Badan Bertindak Penulis Bagi Kebebasan Media (WAMI), Jawatankuasa Menentang Pengambilalihan Nanyang oleh MCA (CAT) dan Pusat untuk Kewartawanan Bebas (CIJ) turut mendesak agar akta yang sama dimansuhkan.
Ini berikutan persetujuan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bersetuju mempertimbang untuk memansuhkan akta tersebut selepas menerima petisyen dari 951 wartawan pada Mei 1999 dan April 2000.
Selain syarat pelesenan, antara had-had lain ke atas media ialah Akta Penyiaran 1988, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Hasutan 1949 (Pindaan 1969) dan Garispanduan Pentadbiran untuk kakitangan awam.
Pertubuhan wartawan itu turut membantah keengganan Kementerian Penerangan untuk memberi kad akreditasi kepada wartawan yang bekerja dengan media Internet kerana menganggap mereka bukan sebahagian daripada media tradisional.
Hari ini diisytiharkan sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Perhimpunan Agung PBB selepas dicadangkan oleh PBB bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (Unesco) pada 1993 melalui resolusi berkaitan dengan Penggalakan Kebebasan Akhbar di Dunia.
Resolusi tersebut diluluskan untuk mengiktiraf media yang bebas, majmuk dan merdeka yang merupakan suatu komponen asas kepada pembentukan setiap masyarakat demokrasi.
Sambutan 3 Mei juga bertujuan untuk mengingatkan masyarakat mengenai pencabulan hak ke atas kebebasan bersuara dan risiko yang dihadapi wartawan di serata dunia, dalam menggalakkan aliran maklumat bebas serta kebebasan akhbar bagi semua lapisan masyarakat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.