Tindakan memulau Suhakam tidak adil: Hamdan
Suhakam hari ini melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan 32 badan bukan kerajaan (NGO) bertindak memulaukan suruhanjaya itu selama 100 hari, kerana didakwa tidak berkesan dalam menjalankan tugasnya bagi membela kepentingan hak asasi manusia di negara ini.
Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Hamdan Adnan menyifatkan tindakan NGO itu sebagai tidak adil terhadap suruhanjaya berkenaan.
Sebaliknya, kata beliau, semua pihak, termasuk NGO sendiri, sepatutnya bekerjasama dengan Suhakam untuk memastikan hak kita sebagai manusia, dapat dilaksanakan di negeri ini.
NGO terbabit mengambil keputusan untuk tidak berurusan dengan Suhakam selama 100 hari dari tarikh perlantikan semula pesuruhjaya suruhanjaya hak asasi manusia itu pada 24 April lalu.
Bercakap dalam satu sidang akhbar bersama di Dewan Perniagaan China Selangor hari ini, presiden Hak Asasi Manusia (Hakam), Ramdas Tikamdas, berkata keputusan itu dibuat berikutan sambutan dingin daripada pihak kerajaan terhadap perakuan-perakuan yang telah dikemukakan oleh Suhakam sehingga ini.
Antara NGO terbabit ialah Aliran, Awam, Amnesty International, Jamaah Islah Malaysia (JIM), Sisters in Islam (SIS), Tenaganita and Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia(MTUC).
Menurut Hamdan, tindakan 32 badan NGO itu tidak membawa sebarang keuntungan, tetapi sebaliknya hanya merugikan rakyat Malaysia sendiri.
Kita rasa mereka tidak adil kepada Suhakam. Sepatutnya mereka membantu Suhakam supaya lebih cergas...banyakkan perbincangan dalam usaha membela hak asasi di negara ini, tambahnya.
Syak wasangka
Sebaliknya, kata Hamdan, tindakan itu menunjukkan mereka seperti mempunyai kepentingan sendiri, dan tidak ikhlas untuk memperjuangkan hak asasi manusia di negara ini.
Kalau hendak memperjuangkan kepentingan rakyat, mereka sepatutnya berkerjasama, bukannya bertindak memulaukan Suhakam, katanya.
Tindakan mereka itu juga, katanya, akan menimbulkan syak wasangka seolah-olah badan NGO itu mempunyai agenda mereka sendiri terhadap negara.
Tindakan itu juga menunjukkan bahawa mereka sendiri pun tidak mahu mengiktiraf Suhakam, dan tidak mahu bekerjasama dengan suruhanjaya ini, katanya.
Menurut Hamdan, apa yang berlaku selama ini ialah badan NGO ini akan menghantar memorandum kepada Suhakam, dan selepas itu bersikap lepas tangan.
Sepatutnya selepas menghantar memorandum, mesti ada tindakan susulan. Suhakam baru setahun jagung. Kita baru hendak mendapatkan pegawai yang mencukupi. Apakah mereka tidak menyedari semua ini?
Malah, NGO sendiripun ada kelemahannya untuk membuat gerakan susulan kerana mereka tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi, katanya.
Oleh itu, katanya, kebanyakan NGO ini hanya melepaskan semua tugas itu semata-mata kepada Suhakam dan kemudian mengkritik suruhanjaya itu walaupun ia sudah berusaha bersungguh untuk mencapai hasrat itu.

