Hubungan panas-dingin Malaysia dengan Singapura sukar berubah selagi republik itu terus menerus mahu semua pihak lain tunduk kepada kehendak dan tuntutannya, kata lidah pengarang akhbar Berita Harian hari ini.

Layanan mesra hanya layak diberikan kepada pihak yang mengamalkan kemesraan juga, bukan sebaliknya, kata akhbar itu sebagai mengulas dakwaan pihak berkuasa Singapura yang menuduh sesetengah akhbar di Malaysia sengaja mahu menimbul masalah dengan republik itu.

Kepimpinan Singapura juga mendakwa apa juga penjelasan yang dibuat mengenai isu yang berbangkit, tidak pernah diberi ruang liputan.

Menurut Berita Harian , Singapura tidak harus melonjakkan martabatnya ke tahap terlalu tinggi sehingga melihat yang lainnya sebagai kerdil dan boleh dikotak-katikkan.

Jika Singapura berterusan berpendirian demikian, maka, kata akhbar berkenaan, Singapura juga harus bersedia untuk dilayan dengan cara yang serupa.

Sebaliknya, Berita Harian mendakwa, perkara itu berlaku akibat sikap ketidakpekaan kepimpinan dan pihak berkuasa Singapura terhadap perkara sebenar.

Oleh itu, katanya, tohmahan kononnya beberapa akhbar di Malaysia tidak berminat dengan fakta dan tidak menyiarkan penjelasan yang diberikan Singapura, adalah tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, kata akhbar itu, kebanyakan pihak berkuasa di republik itu sering bertanggapan negatif setiap kali berurusan dengan media di Malaysia, dan beranggapan soalan dari wartawan Malaysia, hanya tujuannya untuk memburuk dan mencari kesalahan Singapura.

Didorong oleh prasangka seperti itu yang tidak lekang dari minda mereka, maka sebarang pertanyaan dibiar tidak berjawab sekalipun segala tuntutan untuk melakukannya sama ada secara bersurat, faksimili atau e-mel sudah dipenuhi, kata akhbar itu.

Menurut Berita Harian lagi, sebelum ini, sebarang isu yang membabitkan kepentingan kedua-dua negara, tidak pernah mendapat reaksi, baik seperti isu murid Islam di Singapura diarah menanggalkan tudung, isu penambakan laut di sekitar Pulau Tekong dan Pulau Ubin, dan yang terbaru, pembebasan seorang aktivis hak asasi manusia.

Segala pertanyaan hanya berakhir di mesin faksimili. Usaha susulan juga ibarat mencurah air ke daun keladi. Hanya kelmarin Pihak Berkuasa Makanan Pertanian dan Veterinar (AVA) Singapura memberi penjelasan melalui e-mel berhubung isu penolakan import sayur dari negara ini. Itulah yang pertama dan tentunya kita harapkan bukan yang terakhir, kata akhbar berkenaan.