Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi tidak wajar menuduh Malaysiakini.com dibiayai oleh spekulator matawang George Soros tanpa maklumat yang lengkap, kata ketua laman web itu.

"Abdullah jelas tidak menjalankan kerja rumah, atau tidak diberikan taklimat oleh penasihat-penasihatnya, sebelum mengulas isu ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Premesh Chandran dalam satu kenyataan hari ini. "Kami juga berasa kecewa terhadap ulasan Timbalan Perdana Menteri itu." ([#1] M'siakini disappointed at Pak Lah's statement [/#], Feb 4)

Premesh mengulas laporan akhbar hari ini yang menyebutkan Abdullah berkata tuduhan kerajaan bahawa malaysiakini mempunyai hubungan dengan Soros itu kini "terbukti benar." Abdullah dilaporkan berkata beliau kecewa terhadap akhbar web itu kerana mempunyai hubungan dengan pihak "yang tidak senang hati terhadap negara ini dan sentiasa berusaha menggulingkan kerajaan sedia ada."

Abdullah berkata demikian sebagai mengulas pendedahan bekas editor berita malaysiakini , Chong Yen Long, yang menyebutkan sebuah pertubuhan modal teroka Tabung Pinjaman Pembangunan Media (MDLF) memberikan wang RM188,000 kepada malaysiakini .

Pada 27 Februari lalu, akhbar web itu mengumumkan pendapatan sejumlah RM593,132 dan perbelanjaan sebanyak RM624,918. Jumlah pendapatan itu termasuklah bantuan modal awal daripada Persatuan Akhbar Asia Tenggara (Seapa) sebanyak RM375,303, pendapatan iklan RM190,011 dan lain-lain RM27,818. ([#2] M'siakini registers marginal loss for first financial year [/#], Feb 27)

Bagaimanapun Jumaat lalu, malaysiakini menafikan kenyataan Chong itu dan menyifatkan tuduhannya itu sebagai "tidak berasas sama sekali." ([#3] Ex-news editor distorts facts on funding [/#], Mar 2)

Menurut Premesh, wang RM188,000 itu diperolehi daripada Pusat Media Maju, Prague (C@mp) melalui projek perniagaan dengan Kini Technologies, cawangan pembangunan teknologi perisian komputer yang ada kaitan dengan Malaysiakini.com. Projek yang dinamakan 'C@mpware' itu bertujuan membangunkan enjin pengiklanan media dalam talian (online advertising engine).

Katanya lagi, C@mp merupakan cawangan teknologi MDLF tetapi tabung pinjaman itu mendapat sumber wang mereka daripada hampir 20 pertubuhan lain, selain Institut Masyarakat Terbuka (OSI) yang dikatakan milik Soros.

Selain OSI, MDLF menerima wang daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan agensinya Unesco.

Menurut Premesh lagi, pengarah projek C@mp Martin Hala telah memberikan jaminan bahawa tidak terdapat wang Soros disalurkan secara langsung atau tidak langsung kepada Malaysiakini.com.

Usaha memburukkan malaysiakini

Hari ini, Premesh berkata terdapat usaha-usaha untuk memburuk-burukkan malaysiakini dengan mengaitkannya agen-agen luar negara.

Malaysiakini pernah dituduh mendapatkan wang daripada Soros - melalui Seapa - seperti dilaporkan sebuah majalah asing, Far Eastern Economic Review awal bulan lalu. Bagaimanapun Seapa dan OSI telah menafikan hal ini yang menyebabkan majalah itu terpaksa membuat penjelasan walau kenyataan majalah itu masih lagi mengelirukan dan tidak lengkap.

Akhbar web ini juga cuba diberikan gambaran yang sama apabila mengiklan laman web Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur. Usaha itu tidak diteruskan apabila kedutaan itu turut mengiklankan laman web mereka di sebuah tapak web milik sebuah kumpulan akhbar arus perdana, jelas Premesh lagi.

" Malaysiakini adalah syarikat perniagaan. Dalam tempoh setahun lalu, kami mengadakan urusan perniagaan dengan banyak pihak dan menerima iklan daripada bermacam-macam pelanggan dan syarikat," katanya lagi.