Pemuda PAS mendakwa presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah secara tidak langsung mengaku bahawa penulis Khalid Jefri telah melakukan fitnah yang telah menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui bukunya  50 dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi PM .

Ini berikutan kenyataan Dr Mahathir menasihatkan Ketua Puteri Umno, Azalina Othman supaya jangan mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Sari , kerana menyifatkan pemiliknya, Khalid sebagai seorang penulis yang bangkrup idea yang tidak mempunyai kerja lain melain membuatkan fitnah dan menjatuhkan tokoh-tokoh tertentu.

Oleh itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar berkata, pihaknya berpandangan bahawa hujah-hujah Dr Mahathir mengenai strategi Khalid telah membuktikan Anwar telah dizalimi dan dianiyai oleh Khalid dan kuncu-kuncunya.

Kerana itu, Pemuda Pusat merasakan bahawa Dr Mahathir mesti memberi keadilan kepada Anwar dengan tidak menjadikan  50 Dalil  sebagai asas dakwaan skandal seks Anwar.

Beliau mesti dibebaskan daripada tuduhan liar tersebut dan kerajaan mesti membebaskan beliau dari penjara kerana kenyataan Dr Mahathir terhadap Khalid Jafri membuktikan beliau (Anwar) difitnah, kata Mahfuz dalam satu kenyataan hari ini.

Rahsia besar

Mahfuz juga menyifatkan dakwaan Dr Mahathir bahawa Khalid akan menggunakan peguam terbaik untuk menggunakan mahkamah bagi memanipulasi isu tersebut, jika Azalina mengambil tindakan undang-undang, juga seolah-olah mendedahkan rahsia besar dalam kes Anwar.

Khalid, melalui Perdana Sari , telah menyiarkan laporan mendakwa Azalina sebagai seorang lesbian. Tabloid itu juga mendakwa Azalina telah menggunakan wang Puteri Umno untuk memberi sebuah kereta mewah sebagai hadiah hari jadi kekasihnya.

Tabloid itu yang mula diterbitkan pada 31 Mac lalu, telah menyiarkan laporan mengenai Azalina, dalam terbitan kedua, ketiga dan keempatnya. Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu lalu telah bertindak menggantung penerbitannya selama tiga bulan, kerana didakwa menyiarkan berita sensasi dan gambar lucah.

Mengenai Azalina, Pemuda PAS mendesak beliau supaya membelakangkan saranan Dr Mahathir dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas Khalid dan Perdana Sari .

Ini adalah penting kerana tuduhan tersebut melibatkan maruah dirinya, ibu bapanya dan juga seluruh ahli keluarganya, katanya.

Pemuda PAS juga menggesa kekasih Azalina supaya membuat penafian dan mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan tersebut.