Kecenderungan sesetengah pihak merendah-rendahkan pengajian agama dan mereka yang berpendidikan agama sebagai mundur, kolot dan jumud wajar dihentikan segera.

Saranan ini dibuat oleh Sekretariat Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (SPPUM) hari ini berikutan dengan masalah pengangguran di kalangan siswazah yang rata-rata terdiri dari mereka yang memilih pengajian agama.

Di dalam kenyataannya, pengerusi SPPUM Mohd Rushdan Jailani berkata persatuan itu merasa kesal terhadap kenyataan supaya meminggirkan pengajian agama dengan alasan bahawa ia tidak menjamin peluang pekerjaan di kalangan pelajar.

Pandangan tersebut bukan sahaja menyalahi konsep ilmu dan falsafah pendidikan tetapi juga dilihat untuk memberi gambaran negatif terhadap aliran pendidikan agama, kata Mohd Rushdan.

Menurut beliau, budaya menuntut ilmu bukanlah berpandukan konsep materialistik dan sekularistik atau untuk memenuhi tuntutan pasaran dan komersil semata-mata, tetapi untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Maha Pencipta seperti yang tertera di dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Menafikan pembelajaran ilmu (agama) kerana tidak mendatangkan pulangan komersil adalah menyalahi konsep ilmu dan falsafah pendidikan negara serta merupakan bentuk pemikiran sekular dan orientalis yang mahukan masyarakat menjauhkan daripada mempelajari ilmu-ilmu agama, tegas beliau lagi.

SPPUM menggesa agar kerajaan dapat melaksanakan usaha penyepaduan ilmu seperti yang disarankan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Aziz Shamsudin dengan cara yang lebih menyeluruh, cermat dan teliti.

Pertubuhan ini turut mencadangkan pihak universiti supaya menanamkan sikap berdikari di kalangan pelajar supaya mereka tidak mengharapkan makan gaji semata-mata.

Selain itu, Mohd Rushdan berkata peruntukan kerajaan sebanyak RM300 juta untuk menangani isu pengangguran siswazah perlu dinilai bentuk perlaksanaan dan keberkesanannya.

Mengisi peluang

Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut mempertahankan pelajar jurusan agama dengan alasan mereka ini hanya mengisi peluang yang ada sewaktu memohon berdasarkan minat dan apa yang dipelajari sewaktu di bangku sekolah untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian.

Presiden PKPIM, Mohd Zaidi Aziz mempersoalkan adakah dengan menggalakkan pelajar mengikuti bidang sains akan menyelesaikan masalah pengangguran yang kini disebabkan oleh masalah kekurangan pekerjaan.

Mohd Zaidi menambah bahawa pelajar Melayu, yang rata-rata memulakan persekolahan di luar bandar, tidak mempunyai motivasi yang tinggi untuk mempelajari bidang sains dan teknologi serta Bahasa Inggeris kerana tidak mempunyai pendedahan awal di dalam bidang tersebut.

Justeru, PKPIM menyarakan agar agar kerajaan dapat membuat kajian untuk mengatasi isu ini. Amatlah malang nasib generasi hari ini kerana disalahkan begitu rupa walaupun kesalahan ini bukanlah mereka lakukan, ujar Mohd Zaidi.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kekecewaannya kerana 94 peratus penganggur lepasan insitut pengajian tinggi (IPT) terdiri dari orang Melayu.

Menurutnya, ramai yang mengamalkan sikap meminati jurusan sastera dan agama serta yakin mudah mencapai kelulusan di dalam bidang itu tanpa memikirkan ia mampu memberikan pekerjaan kepada mereka selepas menamatkan pengajian.

Mahathir berkata kegagalan mendapatkan pekerjaan juga menyebabkan ramai dari lepasan IPT menyertai parti lawan walaupun pemilihan jurusan pengajian ditentukan oleh mereka sendiri.