Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Pemimpin muda PAS-Umno yakin kerjasama boleh jadi kenyataan

Pemimpin generasi muda PAS dan Umno optimis bahawa impian untuk melihat kedua-dua parti utama orang Melayu itu menjalinkan hubungan kerjasama dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan ummah di negara ini boleh menjadi kenyataan.

Mereka sependapat bahawa Umno dan PAS boleh bekerjasama untuk kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Seorang pemimpin Umno Kelantan, Kamaruddin Mohd Noor berkata, masyarakat perlu membezakan soal perpaduan umat Melayu-Islam dan pertandingan dalam pilihanraya.

"Ianya dua perkara berbeza dan tidak semestinya dikaitkan. Bagi saya, ia umpama perlawanan bolasepak persahabatan, kita berlawan dan berkawan. Dalam pilihanraya biarlah rakyat membuat pemilihan parti mana yang mahu mereka pilih.

"Ia bermakna dalam berpolitik, kita tidak boleh gadaikan perpecahan dan perpaduan umat. Itulah yang cuba diterokai oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Fadzil Nor, ketika mereka berdua bersama menghadiri malam Palestin Rabu lalu," katanya.

Kedua-dua pemimpin utama Umno dan PAS itu, untuk pertamakalinya, menyampaikan ucapan perdana, di dalam satu majlis, anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengenai isu Palestin dan kemanusiaan.

Berikutan itu timbul desas-desus mengenai kemungkinan adanya usaha untuk menyambung semula cadangan pertemuan PAS-Umno untuk membincangkan perpaduan Melayu> Usaha ini gagal sebelum ini kerana PAS mengenakan syarat sebelum bersetuju menyertainya.

Mengulas lanjut mengenainya, Kamarudin berkata: "Saya cukup gembira dengan apa yang berlaku pada malam itu. Kita perlukan sesuatu untuk dijadikan titik perbincangan ... jadi kita mulakan dengan isu Palestin," katanya.

Hukum hudud

Ditanya mengenai reaksi ahli biasa Umno dalam hal berkenaan, beliau berkata: "Saya belum mendapatkan reaksi ahli biasa. Tetapi saya mengutamakan kepentingan orang Islam."

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa pula berkata PAS bersedia berbincang dan bekerjasama dengan Umno dalam isu-isu bersama yang membabitkan kepentingan ummah.

"Malam itu, kita pertemu atas isu Palestin kerana kita menganggap ianya merupakan satu isu bersama di mana kita tidak berbeza pendapat mengenainya. Dalam isu kepentingan ummah, kita akan bekerjasama," katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno Terengganu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ajil, Rosol Wahid, menyifatkan kehadiran bersama Dr Mahathir dan Fadzil berucap mengenai isu Palestin Rabu lalu sebagai satu titik tolak dalam mewujudkan perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

"Kita nampak orang Umno lebih bersikap terbuka dalam hal ini. Kerana itulah kita dari Umno mahu menjadi pembangkang yang berwibawa di Dewan Undangan Negeri. Yang elok kita sokong," katanya.

Kerana itulah, katanya, beliau dan ADUN Umno yang lain akan menghadiri majlis perbincangan mengenai draf hukum Hudud anjuran kerajaan negeri Terengganu yang dijadual diadakan Ahad ini.

"Hukum hudud yang mengikut ajaran Islam dan Sunnah akan kita sokong. Kami akan hadiri majlis itu lusa," katanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS