Tan Sri Megat Junid Junid Megat Ayub kembali semula ke arena politik tanahair apabila beliau hari ini dilantik sebagai ketua penerangan Umno Malaysia yang baru. Perlantikannya diumumkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis tertinggi Umno tengahari ini.

Mega Junid, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menggantikan Datuk Mustapha Mohamad yang melepaskan jawatan itu bulan lalu, untuk memberi tumpuan kepada politik Kelantan yang diketuainya.

Perlantikan beliau agak memeranjatkan kerana sebelum ini namanya tidak disebut langsung sebagai salah seorang calon yang kemungkinan dilantik memegang jawatan berkenaan.

Megat Junid tewas dalam pilihanraya umum November 1999 di kerusi Parlimen Parit di tangan calon Pas. Sebelum itu Megat Junid merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak.

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum lalu, beliau memberi laluan tempatnya itu kepada bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Ramli Ngah Talib yang diletakkan bertanding bagi kerusi Parlimen.

Puteri Umno

Megat Junid juga tewas dalam pemilihan jawatan ketua Umno Bahagian Pasir Salak di tangan Ramli. Ketika itu beliau adalah timbalan ketua Umno bahagian itu manakala Ramli sebagai ketuanya.

Karier politik Megat Junid semakin malap apabila beliau tewas dalam pemilihan jawatan Majlis Tertinggi Umno.

Sementara itu, Dr Mahathir juga berkata, ketua Puteri Umno akan menjadi seorang daripada naib presiden parti apabila pergerakan itu disahkan sebagai satu daripada entiti parti itu kelak.

Dr Mahathir berkata, mesyuarat MT hari ini juga bersetuju untuk membuat pindaan perlembagaan parti berhubung perkara itu dalam satu mesyuarat khas di perhimpunan agung Umno Jun ini.

Dr Mahathir berkata ketua Puteri Umno perlu diberi taraf yang sama seperti yang diperuntukkan kepada ketua Pemuda dan ketua Wanita dalam parti sekarang kerana Puteri Umno juga merupakan sayap kepada parti itu.