Most Read
Most Commented
Read more like this

DAP boleh bekerjasama dengan PAS serta parti komponen BA bagi menarik sokongan rakyat menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang, kata Timbalan Pengerusinya, Karpal Singh.

Katanya, perbezaan pendapat antara DAP dan PAS berhubung isu penubuhan negara Islam serta beberapa dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan dan Terengganu tidak harus menjejaskan kerjasama parti pembangkang menentang kerajaan BN.

Ia termasuk penentangan bersama kedua-dua parti pembangkang itu terhadap kerajaan BN berhubung isu hak asasi manusia dan kegagalannya memperbaiki taraf hidup rakyat miskin di negara ini tanpa mengira kaum, katanya.

Dipercayai kenyataan Karpal itu ada hubungkait dengan majlis anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DAP) mengenai isu Palestin yang dihadiri bersama oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Datuk Fadzil Nor, Rabu lalu.

Majlis itu turut mencetuskan perbincangan mengenai kemungkinan kedua-dua parti Melayu terbesar itu mengadakan kerjasama seterusnya dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan ummah.

DAP pernah menganggotai BA bersama PAS, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Bagaimanapun, DAP bertindak keluar dari BA kerana tidak sehaluan dengan PAS yang memperjuangkan penubuhan sebuah kerajaan Islam di Malaysia.

Dalam hal ini, Karpal mengingatkan bahawa matlamat utama semua parti pembangkang ialah untuk menewaskan BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Negara sekular

Oleh itu, katanya, DAP dan BA, yang turut dianggotai PAS, perlu merancang strategi bagi memastikan rakyat tidak mengundi BN, di samping mempertahankan peruntukan dalam Perlembagaan Negara bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, dengan Islam sebagai agama rasminya.

"PAS tidak pernah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Parti itu hanya berkata sekiranya ia berjaya memerintah, PAS akan menubuhkan sebuah negara Islam dan Kerajaan Islam," katanya..

Karpal berkata, ini bermakna PAS menganggap Malaysia bukan sebuah negara Islam, walaupun Presiden Umno, yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan September tahun lalu, bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dari segi Perlembagaan Negara.

"Jelas, pengisytiharan perdana menteri bahawa Malaysia sebuah negara Islam adalah pandangan peribadinya sendiri, bukannya satu kenyataan di segi hakikat dan undang-undang," katanya.

Sehubungan itu, katanya, DAP boleh bekerjasama dengan PAS dan parti komponen BA dalam isu-isu yang perlu diberi keutamaan dalam usaha menewaskan BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Karpal berkata, adalah lumrah bagi setiap parti politik, termasuk PAS menghadapi kegagalan, namun katanya PAS mempunyai kekuatannya yang tersendiri yang tidak boleh dipandang rendah.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS