Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu selepas diserang sakit jantung setibanya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud semalam.

Menurut Pemangku Pengarah Hospital Kuala Terengganu, Dr Mohammad Omar, Fadzil dimasukkan ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut selepas mengadu sakit dada.

Katanya, Fadzil mengalami masalah jantung dan keadaannya dilaporkan stabil. Beliau kini ditempatkan di Unit Rawatan Kardiologi untuk menjalani rawatan lanjut.

Fadzil berada di sini untuk menghadiri perjumpaan tertutup dengan para pemimpin pakatan pembangkang Barisan Alternatif (BA) yang dijadualkan berlangsung malam tadi dan hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Fadzil diserang sakit jantung pada 8.30 malam.

"Dia kena (mengadu sakit dada) bila tiba di sini semalam dan terus dibawa ke Hospital Kuala Terengganu. Dia kini dalam keadaan stabil," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Fadzil, hari ini.

Abdul Hadi berkata serangan sakit jantung itu dipercayai berpunca akibat tekanan kerja yang dihadapi Fadzil sejak dua tiga hari lalu.

Beliau berkata Fadzil juga dipercayai menghidap penyakit kencing manis.