Pengamal perundangan dan pihak kesatuan sekerja hari ini tidak sependapat mengenai sama ada peguam patut dibenarkan mewakili pekerja dan majikan dalam kes pertikaian industri.

Persoalan itu telah menimbulkan perbincangan hangat di kalangan peserta bengkel mengenai Reformasi Pengadilan Industri anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur.

Sementara pemimpin kesatuan sekerja berpendapat bahawa kes pertikaian industri sepatutnya hanya membabitkan majikan dan pekerja, anggota Majlis Peguam pula menegaskan bahawa pekerja mungkin tidak mendapat keadilan sepatutnya, jika mereka tidak diwakili peguam.

Perdebatan itu bermula ketika Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A Sivananthan mengulas cadangan peguam N Sivabalah supaya peguam dibenarkan mewakili pihak-pihak yang terbabit dalam pertikaian industri bagi mempercepatkan penyelesaiannya.

"Pembicara (Sivabalah) mendakwa kes-kes berkenaan tertangguh kerana tiada peguam yang berhujah di hadapan pegawai pendamai. Tetapi apa yang sebenarnya berlaku ialah ketidakhadiran peguam itu membolehkan kes-kes itu diselesai segera,"kata Sivananthan.

Katanya, peguam tidak sepatutnya dibenarkan mewakili mana-mana pihak, terutama dalam kes-kes di mana pekerja diwakili oleh pihak kesatuan.

Beliau berpendapat pertikaian industri membabitkan tiga pihak iaitu pekerja atau kesatuan, majikan dan kerajaan yang diwakili oleh Kementerian Sumber Manusia, dan tidak ada kena mengena langsung dengan pihak peguam.

"Syarikat-syarikat besar memang mampu mendapatkan perkhidmatan peguam terkenal, tetapi bagaimana pula halnya dengan pekerja," katanya.

Sebagai menjawab pandangan berkenaan, Hakim Mahkamah Rayuan, Gopal Sri Ram berkata, walaupun pihak peguam tidak banyak membantu dalam kebanyakan kes-kes berkenaan, mereka turut memainkan peranan dalam usaha memperbaiki undang-undang yang berkaitan dengannya, untuk faedah pekerja.

"Dahulu, kesatuan sekerja susah, tetapi kini mereka mempunyai sumber kewangan yang stabil. Saya pasti mereka mampu membiayai perkhidmatan peguam," katanya.