Biro Agama Pemuda Umno Malaysia yakin pemimpin PAS Ustaz Taib Azamudden Mohd Taib akan menjaga akhlaknya sebagai seorang ulama dan mengelak daripada mendedahkan keaiban orang lain di khalayak ramai.

Ketua Sekretariat Tetap Agama Pergerakan Pemuda Umno, Ustaz Shamsul Najmi Samsudin, berkata pihaknya sentiasa bersangka baik terhadap Ustaz Azamudden "dan yakin beliau sendiri faham mengenai perkara ini".

"Saya ingin merujuk kepada sebuah Hadis Nabi yang bermaksud 'siapa yang melindungi keaiban saudaranya di dunia, Allah taala akan melindungi keaibannya di akhirat.

"Menyimpan keaiban atau rahsia sesama saudara Islam bukan bermakna beliau bersubahat. Tetapi kalau ia melibatkan jenayah, kepentingan negara, maka ianya perlulah diadili, dengan menyalurkannya kepada pihak berwajib yang boleh menguruskan perkara itu," katanya.

Ustaz Shamsul menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ustaz Azamudden, yang juga Ahli Parlimen PAS bagi Kawasan Baling, pada 7 Mei lalu mengenai dakwaan salahlaku seks yang didakwa membabitkan beberapa pemimpin tertinggi Umno.

Ustaz Azamudden membuat dakwaan itu setelah berulangkali digesa oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Zainudin Maidin dan beberapa orang menteri besar, supaya beliau mendedahkan "rahsia besar" sewaktu masih menjadi imam Masjid Negara.

Dakwaan salahlaku seks

Ini termasuk dakwaan mengenai seorang ketua editor akhbar arus perdana yang mengadakan hubungan sulit dengan wanita lain sewaktu isterinya dalam keadaan hampir lumpuh dan kesahihan perkahwinan seorang bekas menteri besar dan perceraiannya di Thailand.

Azamudden juga mendakwa seorang pemimpin Umno ditangkap berkhalwat dengan seorang artis di Port Dickton, Negeri Sembilan serta dan hubungan sulit seorang pemimpin Umno dengan gadis bawah umur.

Mengulas lanjut, Ustaz Shamsul berkata, perbuatan menghebahkan keaiban orang lain di khalayak ramai atau melalui media, adalah melanggar adat susila sesama Islam.

"Tidak elok membongkar rahsia sesama Islam. Sebagai bekas imam Masjid Negara, dan sebagai seorang ulama, beliau sudah tentu mahu menjaga tatasusila dan tidak akan mahu membongkar rahsia orang.

"Kalau ada orang yang mengadu kepadanya, maka beliau hendaklah menyalurkannnya kepada pihak berwajib yang mengendalikan hal sedemikian. Sebagai seorang yang diberi amanah dengan ilmu agama, saya yakin beliau akan menjaga akhlaknya sebagai seorang ulama," kata Ustaz Shamsul.