versi mutakhir Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini ditahan sehingga Rabu ini bagi siasatan di bawah Akta Hasutan.

Beliau ditangkap jam 9.30 malam ketika berada bersama tiga penyokong parti itu di depan kediaman Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ditahan di balai polis Jalan Stadium, Kuala Lumpur, Ezam dipercayai akan dibawa ke mahkamah pada 7 Mac ini.

Sumber-sumber memberitahu malaysiakini , polis dalam beberapa buah kereta menunggu Ezam di depan rumah Azizah sebelum itu lagi. Apabila pemimpin pembangkang itu sampai, polis merampas kunci kenderaan Ezam dan membalingkannya ke atas jalan.

Tengahari tadi enam pegawai polis berpakaian biasa menggeledah rumahnya di Kelana Jaya, Selangor selepas dua jam Pemuda Umno membuat laporan polis pada pukul 12 tengahari. Bagaimanapun Ezam tidak berada di rumah ketika itu.

Setiausaha Pemuda Umno Zulkifli Mohd Alwi membuat laporan itu di balai polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap kenyataan Ezam seperti dilaporkan Mingguan Malaysia semalam. ([#1] Rumah Ezam digeledah selepas Umno buat laporan polis [/#], 5 Mac)

Dalam berita muka depan, akhbar itu menyebutkan Ezam "mengaku sedang merancang untuk melancarkan demonstrasi besar-besaran bertujuan menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat."

Pergerakan Ezam dipercayai diekori polis mulai tengahari tadi ketika beliau menghadiri mesyuarat di Bangsar, Kuala Lumpur.

Sebagai reaksi segera, Naib Presiden parti itu Tian Chua menyifatkan tindakan polis ini sebagai satu usaha Barisan Nasional untuk menakut-nakutkan rakyat.

"Nampaknya ada usaha terancang daripada kerajaan BN untuk menekan gerakan reformasi, Keadilan, PAS dan juga media-media bebas seperti malaysiakini ," katanya. "Inilah adalah usaha mengalihkan pandangan rakyat daripada isu-isu penyelewengan kerajaan yang semakin disedari ramai."

Tian juga menggesa para penyokong pembangkang menyertai acara menyala lilin pada jam 8.30 malam esok di depan balai polis tempat Ezam ditahan sebagai sokongan kepada Ketua Pemuda itu.

Beliau dan beberapa aktivis Keadilan akan mengetuai acara itu.