Kementerian tidak sembunyi apa-apa: Dr Hassan
Kementerian Pendidikan hari ini menegaskan bahawa pihaknya "tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan atau dimanipulasikan" berhubung pelaksanaan sistem merit bagi kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang menimbulkan kekecohan sekarang.
Malah, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi kementerian berkenaan, Prof Dr Hassan Said, program Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi telah terlebih dahulu "disama-tarafkan" untuk memastikan pemilihan dibuat secara adil supaya yang terbaik sahaja dipilih memasuki IPTA.
"Pengredan kedua-dua program tersebut disama-tarafkan menerusi sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) demi menyeragamkan kelayakan STPM dan kelayakan Matrikulasi," jelas Dr Hassan dalam sidang akhbar di Kementerian Pendidikan.
Contohnya, kata beliau, gred yang sama diberikan untuk pencapaian kedua-dua program Matrikulasi dan STPM, iaitu empat nilai mata (4.00) diberikan bagi gred A, gred B (3.00) dan gred C (2.00). Manakala bagi gred D pula diberi (1.00) untuk program Matrikulasi dan STPM. Pelajar STPM yang mendapat gred R atau "subsid" turut diberi satu nilai mata dan tiada nilai mata (0) bagi gred F.
Bagaimanapun, katanya, pengredan untuk program Matrikulasi mempunyai selang campur (+) dan tolak (-) seperti "A-" (3.67 mata), "B+" (3.33 mata), "B-" (2.67 mata), "C+" (2.33 mata), "C-" (1.67 mata) dan "D+" (1.33).
"Amalan ini (penyamatarafan) bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ini juga dilakukan untuk pengambilan pelajar luar negara di mana gred dari program yang terdapat di negara tersebut disama-tarafkan terlebih dahulu," jelas Hassan lagi.
Hassan mengambil contoh program A-Level yang disediakan di United Kingdom di mana ia juga adalah berbeza mengikut badan yang mengeluarkan sijil tersebut, dan perlu disama-tarafkan mengikut satu piawaian terlebih dahulu, sebelum pemilihan pelajar dibuat.
Oleh itu, katanya, dakwaan yang mengatakan sistem merit memberi kelebihan kepada pelajar bumiputra secara keseluruhannya adalah tidak benar sama sekali.
Kelebihan calon STPM
Sebelum ini, malaysiakini melaporkan bahawa beberapa pihak, termasuk Pengetua Kolej Era, Dr Kua Kia Soong, mendakwa sistem baru ini memberi kelebihan kepada pelajar bumiputera yang mengikuti kursus Matrikulasi, dan menjejaskan peluang lulusan STPM untuk memasuki IPTA.
Sehubungan itu, Dr Hassan berkata proses penyamatarafan itu, sebenarnya memberikan kelebihan kepada calon STPM kerana mereka memperolehi nilai yang lebih tinggi bagi gred yang lebih rendah, berbanding dengan calon Matrikulasi.
"Sepatutnya, calon-calon Matrikulasi yang mesti membantah terhadap perbandingan yang dibuat dengan STPM, bukan sebaliknya," kata beliau.
"Bagaimanapun, apa yang dilakukan adalah selaras dengan apa yang biasa dilaksanakan di peringkat antarabangsa apabila dua sistem akademik yang berlainan terpaksa disatukan untuk tujuan perbandingan," kata Dr Hassan.
Menurutnya, sistem merit tidak menjamin pencapaian minima CGPA 2.00 untuk seseorang pelajar mendapat tempat ke universiti.
"Sebagai contoh, untuk melayakkan diri mengikuti jurusan perubatan, seseorang pelajar mesti mendapat sekurang-kurangnya CGPA 3.79 berikutan saingan yang amat sengit," katanya lagi.
Ditanya mengenai peratusan pelajar yang mendapat tempat melalui program Matrikulasi berbanding program STPM, Dr Hassan berkata, setakat ini statistik tersebut belum boleh dikeluarkan kerana keadaan masih belum "stabil" berikutan adanya kes-kes rayuan.
Dr Hassan menambah, statistik itu akan hanya dikeluarkan sebaik saja kes-kes rayuan sudah diselesaikan.
Katanya, pelaksanaan sistem ini buat julung kalinya menyaksikan keseimbangan kaum di dalam semua jurusan, termasuk perubatan dan kejuruteraan, kecuali farmasi, di mana kekurangan pelajar bumiputra agak ketara.
"Oleh itu, tidak timbul soal ketidak-telusan di sini. Apa yang kami mahukan adalah persaingan sihat demi memilih pelajar terbaik mengikut prosedur sedia ada di dalam sistem yang telah dipersetujui bersama," ujar beliau.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.