Umno Perlis mendakwa parti itu akan dapat menghadapi pilihanraya umum akan datang dengan lebih selesa berikutan semakin ramai ahli parti pembangkang, terutama PAS yang menyertai Umno.

Ketua Penerangan Umno Perlis, Haji Abu Bakar Ismail, berkata selepas kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan Januari lalu, semakin ramai rakyat, terutama ahli pembangkang yang bertambah yakin dengan keupayaan BN, khususnya Umno, memerintah Perlis.

"Ini berlaku di kebanyakan kawasan di Perlis. Malah di kawasan saya sendiri di Dewan Undangan Negeri kawasan Pauh, ramai ahli pembangkang yang secara bersembunyi ataupun secara terbuka, menyertai Umno.

"Kejayaan BN memenangi Indera Kayangan dengan tambahan majoriti, mencerminkan kemampuan kita untuk mempertahankan Perlis dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.

Dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan itu, calon BN dari MCA, Oui Ah Lan, berjaya menumpaskan calon Keadilan, Khoo Yang Chong dengan majoriti 4222 undi, berbanding dengan 1,974 undi dalam pilihanraya umum 1999.

Oui memperolehi 4,229 undi manakala Khoo mendapat 1,687 undi. Malah BN menang di semua saluran mengundi termasuk di Guar Syed Alwi yang merupakan kubu kuat PAS.

Tawan semula

Berikutan itu, Haji Abu Bakar percaya, BN negeri mempunyai harapan cerah untuk menawan semula kerusi negeri Guar Sanji, Santan dan kemungkinan besar kawasan Sanglang, yang dimenangi PAS dalam pilihanraya umum lalu.

PAS memenangi tiga daripada 15 kerusi Dewan Negeri Perlis. Yang lainnya ialah Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Mata Ayer, Bintong, Sena, Indera Kayangan, Kuala Perlis, Kayang, Pauh, Tambun Tulang dan Simpang Empat.

Menurut Haji Abu Bakar, pendekatan Umno negeri yang turut bertemu penyokong akar umbi parti, serta menyelesaikan masalah rakyat secepat mungkin, telah meningkatkan lagi keyakinan penyokong parti pembangkang untuk beralih menyokong BN.

Ditanya mengenai keyakinan kepimpinan PAS untuk menawan Perlis dalam pilihanraya umum akan datang, Haji Abu Bakar berkata, di segi lojiknya, ia bukanlah satu pilihan yang bijak kerana Perlis merupakan sebuah negeri yang tidak mempunyai sumber pendapatan besar.

"Bagi saya, rancangan PAS untuk menawan Perlis adalah merupakah satu pilihan yang 'menyusahkan'. Mereka patut mengambil iktibar daripada kedudukan Kerajaan PAS Kelantan yang kini menghadapi masalah kewangan untuk membangunkan negeri itu," katanya.